Kelab bolasepak Sarawak United muncul kelab tunggal ari Liga Premier yang mengesahkan permohonan Lesen Lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari Liga Premier.

Perkara tersebut disahkan Unit Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) yang mengumumkan sebanyak 11 kelab Liga Super dan Liga Premier telah menghantar pengesahan permohonan Lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan 18 pasukan telah menghantar pengesahan permohonan untuk Lesen Kebangsaan bagi musim 2022.

Dengan permohonan tersebut, Sarawak United menyertai sepuluh lagi kelab dari Liga Super yang memohon lesen AFC dari Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United FC, PJ City FC, Perak FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC, Penang FC, Terengganu FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur United FC.

Selain memohon lesen AFC, kesemua pasukan Liga Malaysia termasuk 11 kelab itu juga telah memohon Lesen Kebangsaan (Liga Super dan Liga Premier) bagi musim 2022 di mana tarikh pengesahan permohonan Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan (Liga Super dan Liga Premier) telah ditutup pada 9 Februari 2021.

Sistem Pentabiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) dibuka bermula hari ini (17 Februari 2021) di mana setiap kelab diminta mengemukakan dokumen bermula Kriteria Personel & Pentadbiran (31 Mac 2021), Kriteria Undang-Undang (15 April 2021), Kriteria Sukan (31 Mei 2021), Kriteria Infrastruktur (15 Jun 2021), Kriteria Perniagaan (30 Jun 2021) dan Kriteria Kewangan pada 30 Julai 2021.

Menurut Unit Pelesenan Kelab MFL, pengumuman kelab-kelab yang telah memohon Lesen AFC bagi musim 2022 adalah pemakluman awam kepada semua pihak.

“Unit Pelesenan Kelab MFL memberikan informasi ini kepada awam untuk memastikan sebahagian pihak memahami berhubung perkembangan terkini berkaitan permohonan lesen bagi musim 2022 dalam pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC (ACC) serta Lesen Kebangsaan yang melibatkan Liga Super dan Liga Premier,” katanya.

Sebagai rekod, Unit Pelesenan Kelab MFL telah mengadakan sesi taklimat bersama kelab-kelab Liga Malaysia pada 20 dan 21 Januari 2021 seterus sesi pengenalan First Instance Body (FIB) pada 2 Februari 2021 disusuli tiga hari kemudian Appeals Body (AB) dan Club Professionalization Task Force (CPTF) pada 6 Februari 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata: “MFL ingin mengingatkan kepada kelab-kelab agar dapat menyerahkan dokumen yang diminta mengikut susunan kriteria dan tarikh akhir yang ditetapkan.

“Jika ada sebarang kekeliruan atau pertanyaan, pegawai pelesenan kelab boleh menghubungi secara terus dengan Unit Pelesenan Kelab MFL.”

Pengesahan permohonan lesen AFC oleh Sarawak United menggambarkan bahawa mereka bukan sahaja mahu mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa bola sepak di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia.