Dua pasukan yang bertapak di Sarawak, yakni Kuching City dan Sarawak United tidak akan memainkan sebarang perlawanan Liga Premier mereka di tempat asal.

Malah, kedua – dua pasukan akan berkelana ke lokasi lain bagi mengharungi pusingan pertama Liga Premier.

Kuching City yang sebelum ini mempertimbangkan perpindahan ke Semenanjung Malaysia, akhirnya mengambil keputusan untuk bermain di negeri jiran, Sabah dimana kelab tersebut akan menggunakan Stadium Likas yang menjadi venue utama Sabah FC.

Ini akan menyaksikan Kuching City memainkan semua perlawanan tempat sendiri di Likas bagi pusingan pertama Liga Premier.

Sarawak United pula mengambil keputusan memindahkan tapak utama mereka ke Melaka, selepas mereka pada awalnya dijadualkan ‘berkampung’ di Stadium Selayang.

kelab milik Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu telah menerima lampu hijau dari Melakua United, Perbadanan Stadium Melaka dan Malaysia Football League (MFL) untuk memindahkan venue utama mereka ke Stadium Hang Jebat.

Seperti Kuching City, tindakan Sarawak United ini akan menyaksikan semua perlawanan tempat sendiri kelab tersebut dimainkan di Stadium Hang Jenbat untuk pusingan pertama Liga Premier.

Keputusan perpindahan venue itu diumumkan MFL yang juga mengumumkan pindaan jadual Liga Premier 2021 hari ini tadi.

Menurut kenyataan MFL, pindaan – pindaan ini dibuat susulan permohonan pertukaran venue oleh Sarawak United FC dan Kuching City FC telah diluluskan menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.

Jadual terbaru (selepas pindaan) boleh dimuat turun di sini.