Selepas saingan kalendar Liga Malaysia musim 2022 bermula dengan Perlawanan Sumbangsih yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Februari 2022, kini tumpuan penyokong tempatan terarah kepada saingan Liga Super dan Liga Premier bermula 4 Mac dan 5 Mac 2022.
Lebih menarik apabila musim ini penyokong-penyokong turut akan disajikan siaran langsung semua perlawanan Liga Premier menerusi platform media sosial Youtube MFL.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, tayangan siaran langsung perlawanan Liga Premier musim ini pastinya satu perkhabaran gembira buat penyokong bola sepak tempatan yang amat dahagakan aksi saingan itu.
“Umum mengetahui siaran langsung buat Liga Premier sejak dua tahun kebelakangan ini sedikit terjejas disebabkan pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia pada Mac 2020 dan Liga Premier tidak terkecuali menerima tamparan ini.
“Demi kepuasan penyokong-penyokong, MFL sedang berusaha mengelak isu teknikal stadium untuk menyiarkan siaran langsung kesemua 90 perlawanan Liga Premier musim . Jika segala berjalan lancar MFL akan menyiarkan 90 perlawanan Liga Premier 2022 bagi memastikan kemeriahan Liga Malaysia dapat dinikmati semua penyokong,” katanya.
Selain Siaran Langsung perlawanan Liga Premier, Stuart mengesahkan siaran langsung Liga Super musim 2022 diteruskan menerusi platform rasmi unifi di saluran unifi Sports 1-5 dan platform media sosial rasmi Youtube unifi.
“Semua orang boleh menikmati kesemua siaran langsung Liga Super 2022 di lima saluran unifi Sports yang telah disediakan di kotak televisyen (TV Box) atau aplikasi unifi PlayTV yang boleh dimuat turun dari Google PlayStore atau Apple App Stores. Apa yang anda perlukan adalah daftar dan masuk secara percuma.
“Siaran langsung Liga Super 2022 sebanyak 132 perlawanan juga boleh dinikmati melalui saluran Youtube rasmi milik unifi sementara platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga disediakan untuk satu perlawanan terpilih pada setiap minggu.
Selain aksi lebih rancak dan mendebarkan di atas padang yang bakal dipamerkan oleh semua pasukan dalam pemburuan kejuaraan, Liga Malaysia musim ini menjadi lebih berseri apabila diwarnai dengan kombinasi penaja lama dan baharu.
Ini kerana penaja utama yang menjadi penyiar rasmi Liga Super dan TM Piala Malaysia, Telekom Malaysia (TM) unifi dan Puma menerusi pengedarnya Active Sports sebagai Bola Rasmi Liga Malaysia hadir bersama Rakan Pelaburan Kripto Liga Malaysia, Luno, (Rakan Logistik Liga Malaysia) Pos Malaysia, Proviton STR sebagai Rakan Minuman Isotonik Liga Malaysia dan Uphamol bertindak sebagai Rakan Analgesik Liga Malaysia.
Tambah Stuart, beliau mengalu-alukan kedatangan penaja lama dan baharu yang jelas memberikan satu signal cukup positif di dalam industri bola sepak tempatan yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Jelas Stuart, untuk merancakkan lagi saingan serta meningkatkan nilai komersial liga, MFL melakukan perubahan format sepak mula pertandingan di mana pada musim ini sepak mula Liga Super dan Liga Premier bermula tiga waktu berbeza iaitu bermula jam 7.30 petang, 8.15 malam dan 9 malam.
“Pertama saya ingin mengucapkan selamat datang kepada penaja-penaja termasuk lama dan baharu. Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat datang unifi, Active Sports, Luno, Pos Malaysia, Proviton STR dan Uphamol dalam Liga Malaysia.
“Kehadiran penaja-penaja ini menjadi satu signifikasi yang sangat penting kepada industri bola tempatan Malaysia kerana kita semua mengetahui setiap pihak memainkan peranan cukup penting dalam komersialkan nilai Liga Malaysia.
“Malah, ada beberapa penaja baharu akan datang menyertai Liga Malaysia 2022 nanti selepas ini. Sama-sama kita nantikan siapakah penaja baharu yang dimaksudkan nanti.
“Suka diumumkan juga bahawa musim ini kita mempunyai tiga format sepak mula berbeza dan sudah pasti format baharu sepak mula Liga Malaysia ini bakal memberikan manfaat bukan sahaja kepada penaja-penaja kami sebaliknya seluruh penyokong tempatan untuk menikmati perlawanan dengan waktu yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Sebanyak 12 pasukan akan bersaing dalam Liga Super 2022 iaitu juara lapan tahun berturut-turut JDT, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Terengganu FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Melaka United FC, PJ City FC, Sri Pahang FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC.
Manakala saingan Liga Premier 2022 pula akan melibatkan 10 pasukan iaitu, Kelantan FC, Perak FC, Kuching City FC, UiTM FC, Terengganu FC II, Selangor FC 2, JDT II, PDRM FC, Kelantan United FC dan Skuad Projek FAM-MSN.
Selain itu saingan kalah mati Piala FA yang akan bermula dengan kelayakan playoff pada 6 Mac 2022 dan final pada 6 Ogos 2022 tampil menerusi format baharu di mana perlawanan di peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA hanya satu perlawanan dan tiada timbal balik sementara kejohanan TM Piala Malaysia berlangsung pada 7 dan 8 Oktober 2022 sehingga ke laluan pentas final pada 19 November 2022. – MFL