Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan tetap lega barisan pemain bebas kecederaan meskipun tewas kepada Penang FC dalam aksi terakhir peringkat kumpulan TM Piala Malaysia, Rabu lalu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium UiTM, Penang meraih kemenangan pertama selepas menewaskan tuan rumah dengan keputusan 2-1.
Namun, Elavarasan lebih memikirkan tahap kecergasan anak buahnya selepas berakhir perlawanan tersebut kerana aksi suku akhir yang lebih getir menanti mereka apabila bakal berdepan Terengganu FC pada 14 dan 18 November ini.
“Perlawanan terakhir ini kalau kita menang pun, dan Kuala Lumpur juga menang, tidak akan mengubah apa-apa, jadi untuk saya, yang penting adalah tiada kecederaan berlaku.
“Risau juga kalau ada pemain saya cedera sebab dua-dua pasukan beraksi aggresif, jadi itu yang saya risau kalau jadi apa-apa.
“Kita pun tahu Terengganu adalah pasukan yang bagus dan mempunyai ramai pemain yang berkualiti, berbanding dengan Sarawak United, kalau ada yang cedera akan jadi masalah kepada pasukan.
“Apa-apa pun, kita menghormati pasukan Terengganu, cuma hari perlawanan nanti adalah bagaimana kita beraksi, bukan nak cakap kami terlalu yakin, tetapi ini bola sepak dan apa-apa boleh berlaku”, jelasnya. – MFL