Sarawak United FC yang akan bermain di Liga Premier musim ini bakal meneriam RM500,000 daripada Malaysia Football League (MFL).
MFL mengumumkan pendapatan penajaan akan diagihkan sebanyak RM1 juta kepada wakil CIMB Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Premier pada musim ini.
Berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada Rakan Kongsi Liga akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan penajaan kepada Rakan Kongsi Liga adalah kurang atau melebihi RM18 juta.
Menurut CEO MFL, Dato’ Ab Ghani, berdasarkan peruntukan itu, pemberian agihan kepada Rakan Kongsi Liga dibuat berdasarkan 75 peratus daripada pendapatan yang diraih oleh MFL.
“Berdasarkan pendapatan yang diraih MFL khususnya menerusi penajaan setakat ini, InsyaAllah kita akan membuat agihan pendapatan penajaan sejumlah RM18 juta keseluruhan kepada semua Rakan Kongsi Liga. Ini melibatkan agihan sejumlah RM1 juta untuk pasukan CIMB Liga Super dan RM500,000 pasukan Liga Premier.
“Semua Rakan Kongsi Liga sedia maklum mengenai agihan ini menerusi taklimat yang kita adakan pada hari ini bagi menerangkan secara jelas mengenai pendapatan serta perbelanjaan operasi MFL musim ini.
“Sebagai Rakan Kongsi Liga, mereka faham bahawa agihan yang diterima berdasarkan pendapatan MFL tahun ini dan mengikut kontrak perjanjian bersama Rakan Kongsi Liga,” katanya.
Sebagai rekod, MFL telah berjaya mendapatkan dua penaja Liga Malaysia musim ini di mana Telekom Malaysia (TM) menjadi penyiar rasmi dan penaja utama Piala Malaysia 2020 termasuk penaja bersama CIMB Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Challenge Cup.
Manakala CIMB Bank menjadi penaja utama Liga Super yang dijenamakan sebagai CIMB Liga Super 2020 dan CIMB Piala Sumbangsih serta penaja bersama untuk pertandingan lain kelolaan MFL.
Tambah Dato’ Ab Ghani, pihak MFL juga sudah memaklumkan kepada Rakan Kongsi Liga mengenai perubahan struktur pembayaran pendapatan itu yang akan dibuat dipenghujung musim bermula tahun depan.
“InsyaAllah kita akan dapat menyerahkan agihan pendapatan kepada Rakan Kongsi Liga musim 2020 ini pada minggu depan. Saya percaya ini sedikit sebanyak membantu kewangan Rakan Kongsi Liga.
“Kita juga membuat keputusan untuk menyerahkan agihan dana pendapatan bagi musim 2021 kepada Rakan Kongsi Liga pada hujung musim 2021 selaras dengan agihan dana tajaan dari TM kepada MFL yang akan dibuat oleh TM dalam dua peringkat iaitu pada awal Januari 2021 dan awal Jun 2021 seperti yang tercatat dalam perjanjian tajaan.
“Ini bagi memastikan MFL dapat menyerahkan agihan pendapatan tahunan selepas mengambil kira keseluruhan tajaan dan kos pengurusan. Apa yang ingin dilaksanakan MFL ini juga adalah amalan pengurusan liga luar negara seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga (Sepanyol) dan J.League (Jepun),” ujarnya.