Home BERITA BOLASEPAK Juara Liga Super dan Piala FA akan diberi slot ke Piala AFC...

Juara Liga Super dan Piala FA akan diberi slot ke Piala AFC 2021

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa dua slot automatik untuk beraksi di kejohanan Piala AFC pada musim 2021 akan diberikan kepada pasukan juara Piala FA dan naib juara CIMB Liga Super.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-20 semalam selepas pengendali Liga Malaysia itu dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung penambahan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC.

Sementara slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) kekal milik juara CIMB Liga Super.

Sebelum ini, Malaysia hanya meraih satu slot automatik ke ACL dan satu slot pusingan Play Off ACL.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, MFL selaku pengendali Liga Malaysia gembira dengan perkembangan terbaharu itu yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk pasukan tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

“Kita sudah dimaklumkan mengenai penambahan slot ini namun masih menunggu surat rasmi daripada AFC. Kita sudah membuat keputusan awal berhubung perkara ini supaya dapat memberikan penjelasan awal kepada semua pasukan Liga Malaysia. Apa yang pasti, tambahan slot ke Piala AFC ini akan menyuntik semangat buat semua pasukan memberi saingan lebih kompetitif bagi merebut slot berkenaan,” katanya.

Previous articleSarawak United bakal dapat RM500,000 dari MFL
Next articleTHEKEDEY jual SarawakCrocs Tribal Jersey 2020