Sarawak United ada kelebihan berbanding Kuching City

Pasukan Liga Premier Sarawak United FC mempunyai kelebihan berbanding pasukan liga sama, Kuching City FC apabila kedua pasukan adik – beradik ini bertemu Sabtu ini kelak.

Kuching, yang masih segar dibelasah oleh pasukan Perak 2 dilihat berkemungkinan tidak dapat mengekang asakan daripada pasukan Sarawak United yang kini dalam prestasi yang kian meningkat.

Sarawak United pula agak kecewa selepas dipaksa berkongsi mata dengan UKM FC, namun persembahan mereka telah mendapat perhatian ramai.

Malahan, persembahan pasukan Sarawak United yang terkini itu telah mendapat pujian daripada pengendali pasukan UKM FC, Sulaiman Hussin, yang menyatakan beliau bangga berjaya mencuri mata dari pasukan tersebut Jumaat lepas.

KUCHING KINI TEMPANG

Bukan itu sahaja, Kuching kini mengakui bahawa pasukan tersebut dibanjiri oleh kecederaan pemain berpengalaman jika dibandingkan dengan Sarawak United yang dalam keadaan bebas kecederan di hampir semua posisi.

Situasi ini meletakkan Kuching di dalam keadaan lebih teruk jika dibandingkan dengan Sarawak United yang sememangnya  sudahpun dibarisi ramai pemain berstatus bintang seperti Amri Yahyah, S Chanturu, Ashri Chuchu, Patrick Ronaldinho dan Fauzi Roslan.

Dalam pada itu, Sarawak United juga dilihat mempunyai barisan pemain yang jauh lebih berpengalaman jika dibandingkan dengan Kuching

Ini sedikit sebanyak memberi lebih lagi kelebihan kepada pasukan milik Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu lagi, biarpun Kuching diletakkan sebagai tuan rumah kepada perlawanan Liga Premier Sabtu ini nanti.

RIVALRY DI SARAWAK

Oleh itu, perlawanan di antara Kuching dan Sarawak United ini sudah pasti akan menjadi satu perlawanan yang menarik kerana hadir suasana ‘rivalry’ yang dilihat menebal di antara penyokong kedua – dua pasukan.

Rivalry kedua – dua pasukan sememangnya boleh disamakan dengan pertembungan dua jaguh bola sepak Inggeris, yakni Manchester United dan Manchester City, dan ini sememangnya sesuatu yang amat baharu di dalam bola sepak Sarawak yang selama ini hanya dikuasai oleh satu pasukan.

Walau apapun, kemenangan kepada Sarawak United akan membantu pasukan bimbingan jurulatih berkaliber E Elavarasan melompat sejauh tangga ke-8 di dalam Liga Premier, manakala kemenangan kepada pasukan Kuching akan memberi sedikit harapan kepada pasukan muda itu untuk kembali bersaing pada musim ini.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top