Kuching City merupakan pasukan yang baharu sahaja bermain buat kali pertama di Liga Premier Malaysia musim ini, namun keputusuan dibelasah Perak 2 hujung minggu lepas menyaksikan pasukan kerdil itu mungkin akan mengakhiri liga di tangga tercorot.

Sesungguhnya, ramai sudah mengetahui Kuching mempunyai tugas sukar di Liga Premier, namun keputusan hujung minggu lepas sememangnya mengejutkan apabila mereka dibelasah teruk oleh Perak 2, sememangnya boleh dikatakan ‘agak’ mengejutkan.

Ini adalah kerana pasukan Perak 2 hanya setangga di atas Kuching City, dan berkemungkinan mampu bersaing jika menang.

PENGURUSAN LEBIH BAIK

Pada pandangan mata kasar, Kuching City dilihat mempunyai antara pengurusan paling baik dalam arena bola sepak Malaysia.

Biarpun mempunyai jumlah dana yang sedikit jika dibandingkan dengan pasukan jiran tetangga, Sarawak United,ataupun pasukan JDT FC, ataupun pasukan pasukan lain di Liga Premier, masalah pembayaran gaji pemain mahupun pegawai pasukan Kuching sukar kita dengar.

Bukan sahaja itu, Kuching juga dilihat amat bijak di dalam menguruskan penjenamaan pasukan mereka, dan penampilan pasukan tersebut dilihat amat profesional dan baik juga di media sosial.

Setakat ini, Kuching juga dilihat mempunyai perhubungan umum (public relations) yang agak baik dengan semua pihak, baik pihak media, rakan kongsi, penaja dan juga laman – laman indie seperti SarawakCrocs.

NASIB ATAU SALAH PERCATURAN?

Jadi di manakah Kuching silap sehinggakan mereka kini bergelut di kancah Liga Premier?

Jika kita memandang kepada persediaan Kuching sebelum liga Malaysia bermula, ianya nampak tersusun.

Kuching mengekalkan hampir kesemua pemain lama mereka, dan memperkuatkan pasukan mereka dengan beberapa muka baharu, khususnya pemain import.

Mereka berbelanja dengan berhemah, dan telah diberi beberapa pemain import secara tajaan oleh pihak Yakult.

Tidak cukup dengan itu, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) juga menghulurkan pemain import kepada pasukan kerdil ini.

Namun, selepas enam perlawanan, Kuching kini hanya ada 1 mata, dengan lima kekalahan disenaraikan untuk musim ini.  Ini sekaligus menyaksikan pasukan ini kini di tanga tercorot Liga Premier.

Adakah situasi yang melanda Kuching ini nasib, atau kesilapan di dalam memperkasakan pasukan pada awal musim?

Alasan bahawa ini musim pertama pasukan Kuching di liga profesional tidak boleh digunapakai kerana Kelantan United juga merupakan pasukan baharu dan mereka kini di tangga ketujuh dengan lapan mata dari enam perlawanan.

MEMANDANG KE MUSIM 2021

Sememangnya kini, Kuching hanya boleh mengharapkan untuk memperbaiki kedudukan di Liga Premier.

Ianya bukan tugas mudah kerana Kuching mempunyai baki perlawanan yang terhad selepas Liga Malaysia dipendekkan.

Situasi diburukkan lagi dengan hakikat bahawa beza mata Kuching dengan tiga pasukan di kedudukan lebih tinggi darinya adalah agar besar.

Sungguhpun demikian, harus diingat bahawa hasrat pasukan hijau putih ini untuk kekal di Liga Premier pada musim sulung mereka sudahpun tercapai.

Ini ekoran tindakan Malaysia Football League (MFL) mengumumkan bahawa tiada penyingkiran akan dilakukan dari Liga Premier musim ini.

Ini adalah berita baik kerana Kuching kini sudah boleh memandang ke persediaan musim hadapan apabila ianya secara rasmi akan menggunakan nama Kuching City FC.

Pengurusan Kuching yang pada kami kini sudah dalam keadaan yang baik dari kebanyakan pasukan lain di Liga Malaysia, boleh diperkemaskan.

Penjenamaan pasukan boleh diperkuatkan agar peminat pasukan ini bukan sahaja esklusif kepada warga Kuching.

Malah, koleksi pemain, serta mungkin barisan kejurulatihan juga perlu diasah agar lebih baik agar taktik – taktik terkini boleh dibawa masuk ke atas padang, yang sekaligus boleh membawa kemenangan.

KUCHING HARUS BERANI

Bagi kami, Kuching telah mengambil langkah sangat bijak dengan memilih logo pasukan yang baharu yang tidak terlalu bersifat ‘kenegerian’ atau setempat, namun lebih kepada bersifat ‘global’.

Ini seperti tindakan pasukan JDT yang tidak terlalu ‘Johor’, pasukan Melaka yang bakal tidak terlalu bersifat ‘Melaka’, mahupun Terengganu, yang lebih menekankan warna hitam dan putih dari mengkaitkan diri dengan negeri Terengganu.

Ini adalah peluang untuk Kuching melangkah keluar dari zon selesa yang mana sering digunakan oleh sesetengah pasukan yang sering menggunakan sentimen kenegerian untuk menagih sokongan.

Penjenamaan semula kepada Kuching City kelak akan seseungguhnya memberi nafas baharu kepada pasukan, dan Kuching harus mempergunakan peluang itu sepenuhnya untuk menjual jenama mereka ke seluruh Malaysia, dan dunia.

Dari dana tersebut, Kuching boleh mula mengorak langkah untuk membawa banyak lagi bakat bola sepak ke kelab hijau putih, dan seterusnya menyaksikan Kuching berjaya.

Contohilah kelab – kelab luar negara yang mana memperolehi dananya dari sumber – sumber selain bola sepak.

Oleh itu, Kuching harus berani membawa perubahan.

Pasukan muda ini harus berfikir seperti kelab – kelab bola sepak besar seperti Liverpool, Barcelona, Manchester City dan banyak lagi untuk memastikan mereka berjaya.  Mereka perlu belajar bagaimana pasukan – pasukan elit ini membawa diri.  Jika tidak mahu memandang jauh ke Eropah, lihatlah ke Indonesia. Lihatlah ke Thailand.  Jangan asyik memandang JDT sahaja kerana kita tahu, situasi kewangan JDT agak unik dan sukar diikuti.

Memang ianya nampak mustahil dan sukar, namun kami percaya, jika ada impian, akan nampaklah jalan.

Goodluck Kuching, we are rooting for you.