Pasukan dari Bumi Kenyalang, Sarawak akhirnya berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini selepas hampir tersingkir berikutan prestasi buruk sebelum ini.
Kemenangan kedua di dalam Liga Super oleh pasukan bimbingan jurulatih sementara David Usop malam ini memastikan Sarawak keluar dari zon merbahaya selepas Pulau Pinang tewas di Stadium Bandaraya.
Kekalahan Pulau Pinang bermaksud pasukan ‘The Panther’ menggantikan Sarawak di tangga terbawah Liga Super, dengan Sarawak melonjak ke tangga ke-10.
Ini meletakkan Sarawak di kalangan 11 pasukan terbaik di dalam Liga Super selepas perlawanan ke-11 Liga Super, sekaligus mengesahkan Sarawak akan beraksi di Piala Malaysia kelak.
Format Piala Malaysia musim ini ditukar selepas pihak pengurusan Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mengumumkan hanya sebelas pasukan teratas Liga Super dan lima lagi pasukan teratas Liga Premier selepas perlawanan ke-11 Liga Malaysia akan bermain di perlawanan tersebut.
Senarai penuh pasukan yang layak ke Piala Malaysia musim ini adalah:
- Felda United
- JDT
- Selangor
- T-Team
- PDRM
- Kelantan
- Kedah
- Terangganu
- Perak
- Sarawak
- Pahang
- Melaka United
- Kuala Lumpur
- Negeri Sembilan
- JDT II
- PKNS FC