Kemenangan Sarawak ke atas Terengganu malam tadi menyaksikan Sarawak kini boleh bernafas sedikit lega apabila beberapa keputusan lain seperti di Batu Kawan dan Perak menyaksikan pasukan Bujang Senang melonjak ke tangga ke-8 Liga Super.
Kekalahan PDRM, Pahang FC, serta keputusan seri di anatara Pulau Pinang dan JDT membolehkan Sarawak meningkatkan jurang perbezaan mata di antara mereka dengan zon penyingkiran yang kini dihuni oleh Pulau Pinang dan Pahang FC.
Dengan 18 mata di dalam Liga Super, Sarawak mampu mengukuhkan lagi kedudukan mereka di Liga Super jika menewaskan pasukan Pulau Pinang pada Sabtu ini di Stadium Negeri. Kedudukan Sarawak walaubagaimanapun akan kembali getir sekiranya mereka hanya sekadar seri, atau lebih teruk lagi tewas kepada pasukan pulau mutiara itu.
Dalam pada itu, penganalisis SarawakCrocs berpendapat bahawa pasukan bimbingan David Usop sangat perlu untuk memenangi perlawanan menentang Pulau Pinang kerana semua perlawanan Liga Super selepas itu adalah menentang pasukan yang berkedudukan lebih tinggi di dalam liga, termasuk Selangor, Kelantan, Kedah dan Felda United.
Penganalisis kami percaya bahawa kemenangan menentang Pulau Pinang akan memastikan Sarawak kekal di Liga Super, dengan syarat pasukan Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang terus mengekalkan rentak kekalahan mereka.