Sarawak FA tidak harus kalah kepada Kuching FA

Sarawak FA tidak boleh kalah kepada pasukan Kuching FA biarpun Kuching dianggap oleh ramai sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut.

Ini adalah berikutan hakikat bahawa Kuching FA hanya mewakili sebuah bahagian, yang berada di dalam Sarawak.

Sarawak FA seharusnya lebih gah dan memenangi perlawanan play-off Liga Premier yang dijadualkan pada 23 November ini kerana secara amnya, Sarawak FA mewakili seluruh rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, Sarawak seharusnya diwakili oleh pemain-pemain terbaik dari Sarawak, terutama sekali dari segi perwakilan anak watan Sarawak.

Jika diimbas kembali pada awal musim ini tadi, Sarawak FA mula menoleh kearah mempunyai pasukan yang dibintangi 100% pemain Sarawak bermula 2017.

Walaubagaimanapun, pada tahun 2018, hasilnya agak mengecewakan, sekaligus menyaksikan pengumuman mengejut oleh Presiden FAS, Posa Majais, yang telah mengumumkan pembubaran pasukan Sarawak FA 2018.

Dalam kenyataan Posa pada yang turut menamakan laman ini (SarawakCrocs) sebagai perosak kepada segala usaha membangunkan bolasepak Sarawak, Posa telah menyatakan bahawa pasukan 2019 akan diperkuatkan oleh pemain dan barisan kejurulatihan yang baharu.

Hal ini berkemungkinan telah menyebabkan pemain senior seperti Hairol Mokhtar, Dzulazlan Ibrahim, Mazwandy Zakeria, Hafis Saperi, Hafiz Abu Bakar, Ramesh Lai, dan Alif Hassan yang khabarnya dijemput sempula untuk sesi seleksi bersama Sarawak FA, angkat kaki dan telah memilih untuk bersama pasukan amatur, Kuching FA.

Bagi saya, kehilangan pemain senior yang berpengalaman dan masih di bawah usia 35 tahun sememangnya satu tamparan hebat kepada Sarawak FA, namun ianya adalah selaras dengan hasrat Posa yang mengumumkan pembubaran pasukan pada hujung 2018, dan pemilihan pasukan baharu.

Oleh itu, untuk Sarawak FA menggunakan alasan ‘pemain masih tidak cukup pengalaman’ adalah salah kerana pemain-pemain Sarawak FA kini sudah bermain secara profesional sepanjang musim 2019.  Rata-rata mereka sudah biasa bermain sebagai pemain profesional.

Ini sudah pasti memberikan pemain cukup pengalaman untuk beraksi dengan baik, terutama sekali menentang pasukan amatur seperti Kuching FA.

Tidak patut pemain Sarawak FA masih perlu menimba pengalaman lebih sedangkan mereka telah bermain di dalam Liga kedua terbaik di Malaysia selama hampir 10 bulan?

Tambahan pula bukan semua pemain Sarawak FA merupakan pemain baharu.

Bobby Gonzales, Dalgish Papin, Benedict Martin, Shamie Iszuan, Abdul Rahman, dan Shreen Tambi, kesemuanya adalah pemain utama pasukan Sarawak yang berpengalaman dengan Bobby muncul penjaring tempatan terbanyak Liga Premier musim 2019.

Ini sekaligus memberikan Sarawak cukup bakat dan pengalaman untuk mengatasi Kuching FA pada perlawanan play-off kelak.

Jadi, seharunya tiada alasan diberikan jika Sarawak FA tewas kepada Kuching FA kelak. Apa pun keputusan, kita nantikan hasil perlawanan pada 23 Nov kelak.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top