Pasukan Sarawak FA dilihat akan terus selamat di Liga Premier biarpun terus tewas baki perlawanan saingan liga tersebut.

Ini adalah kerana pasukan Sarawak FA akan perlu menghadapi perlawanan ‘play-off’ sebelum ianya boleh disingkirkan ke Liga M3, yang merupakan Liga ketiga bolasepak Malaysia.

Dengan Liga Premier kini hanya mempunyai 11 pasukan, hadir kemungkinan bahawa pihak Malaysia Football League, selaku penganjur Liga Malaysia, menaikkan secara automatik juara Liga M3 pada musim ini ke Liga Premier bagi memastikan liga tersebut akan cukup 12 pasukan.

Hal ini kami jangkakan berdasarkan apa yang berlaku musim ini selepas beberapa pasukan menarik diri dari saingan Liga Premier dan Liga Super.

Ini bermaksud, Kuching FA akan naik ke Liga Premier secara automatis sekiranya mereka terus memenangi Liga M3 musim ini, manakala pasukan tempat kedua Liga M3 akan menentang Sarawak FA bagi menentukan pasukan mana yang akan bermain di Liga Premier pada musim hadapan.

Pasukan di kedudukan ke-10 di dalam Liga Premier akan kekal di dalam Liga Premier memandangkan hanya dua pasukan tercorot liga sepatutnya bermain di dalam perlawanan play-off, yakni kedudukan ke 11 dan 12 liga.

Dalam pada itu, Perlis FA yang sudah disingkirkan dari saingan liga dianggap menghuni tangga ke-12 liga, manakala Sarawak, jika terus tewas, akan menghuni tangga ke-11.

Dengan itu, hanya Sarawak yang akan menentukan nasib di dalam saingan play-off memandangkan Perlis sudahpun tersingkir, dan Kuching diandaikan sudah ‘naik pangkat’.

Sungguhpun demikian, andaian ini tidak mengambil kira hakikat bahawa Kuching merupakan ahli gabungan Persatuan bolasepak Sarawak (FAS) sekaligus mungkin memerlukan kebenaran FAS untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Jika FAS tidak memberi restu dan mengambil langkah menjenamakan semula pasukan seperti yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Terengganu terhadap T-Team FC beberapa musim lalu, kehadiran Sarawak di Liga Premier adalah hampir pasti selamat.