Pasukan Sarawak FA kini sedang menguji beberapa pemain import baharu biarpun belum ada pengumuman rasmi samada rayuan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) terhadap Malaysia Football League didengari.

Sarawak sebelum ini telah membuat rayuan kepada pihak MFL bagi mengurangkan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kali ini.

SarawakCrocs Fantasy Premier League 2019/20

Setiausaha Sarawak FA Jeffry Lana sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa pasukan yang bertapak di Kuching itu akan memohon jasa baik MFL agar mereka dapat melakukan hanya dua pertukaran dan perpindahan dua pemain import.

Dua pemain import yang mahu ditukar Sarawak belum dinamakan buat masa ini.

Dalam perkembangan sama, menurut akhbar Utusan Borneo, pemain Brazil Rodrigo Amorim Olivera dan Yohei Iwasaki dari Jepun telah menyertai sesi latihan Sarawak dengan hajat dapat menyertai Sarawak pada jendela perpindahan yang kini sedang dibuka.

Tarikh akhir bagi mendaftarkan pemain bagi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia adalah 29 Mei ini, namun Sarawak perlu juga mengemukakan semua dokumen berkaitan pendaftaran pemain sebelum 25 Mei ini kepada MFL.

Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan Sarawak ditolak 3 mata daripada Liga Premier.