Setelah sekian lama kekal di Liga Perdana, pasukan Sabah dilihat mampu merampas tangga kedua dari Felcra FC ataupun MISC-MIFA sekaligus layak ke Liga Super 2019.
Setelah bermula perlahan, skuad badak mula mendapat rentak di pusingan kedua dengan Hector Ramos menjadi mesin gol yang tidak dapat dihentikan. Sabah hanya memerlukan 3 mata penuh untuk memintas ke kedudukan kedua.
Namun ianya bukan mudah kerana Felcra hanya memerlukan seri dan jika MIFA menang maka segala usaha Sabah akan terbantut. Namun bolasepak itu bulat dan apa jua kemungkinan boleh terjadi.
Di atas kertas, MIFA mempunyai peluang yang lebih cerah kerana akan bertemu TFC2. Namun MIFA harus berhati-hati kerana TFC2 sudah pasti mahu meraih kemenangan bagi mengelak tersingkir ke Piala FAM.
Sabah juga perlu mengharapkan ihsan jiran mereka Sarawak untuk menewaskan Felcra di Shah Alam. Jika ini terjadi, maka inilah “Borneo Brotherhood” terbaik pernah berlaku dalam sejarah kedua-dua pasukan.
Bagi pemerhati bola sepak, ianya sesuatu yang mengujakan dan berharap ada wakil Borneo yang bertanding di Liga Super 2019. Namun sesiapa pun yang layak selamat berjuang diucapkan. – SARAWAKCROCS.COM/JJF