Home Malaysian football Rodney diperkenalkan dengan penuh gaya oleh Red Giants

Rodney diperkenalkan dengan penuh gaya oleh Red Giants

Rodney Celvin Akwensivie bukanlah nama asing di dalam bola sepak Sarawak kerana beliau telah bermain untuk pasukan Sarawak FA beberapa musim lalu.

Pemain muda berdarah kacukan Bidayuh-Ghana ini walaubagaimanapun telah menyertai pasukan PKNS FC pada akhir musim 2017 selepas beliau dipilih oleh K. Rajagobal untuk bermain dengan pasukan baharunya.

Pemergian pemain yang juga dikenali sebagai Bonai ini walaubagaimanapun bermasalah apabila FAS pada ketika itu enggan melepaskan beliau, namun isu tersebut selesai dengan Bonai akhirnya berjaya berhijrah ke PKNS FC pada awal 2018.

Musim depan, pasukan PKNS FC akan disatukan dengan pasukan Selangor FA, dan dijadikan pasukan simpanan pasukan yang juga digelar The Red Giants.

Penyatuan ini walaubagaimanapun tidak memberi impak banyak kepada Bonai apabila beliau sah diambil oleh pasukan Red Giants sebagai salah seorang pemain pasukan tersebut.

Malah, Bonai bukan sahaja diumumkan sebagai pemain baharu Red Giants, malahan pihak Red Giants juga menampilkan satu video menarik menunjukkan pengambilan Bonai sebagai pemain.

Ini pada pengamatan kami, merupakan satu penghormatan bukan sahaja kepada Bonai, tetapi juga kepada Sarawak, kerana anak kelahiran Sarawak diangkat seperti itu oleh pasukan lain.

Saksikan video pengenalan Rodney yang amat menarik di bawah.

Berikut adalah kenyataan penuh Selangor FA:

RODNEY CELVIN AKWENSIVIE SAH MENJADI PEMAIN SELANGOR

Dengan berbesar hatinya kami ingin memaklumkan bahawa pemain pertahanan yang berdarah kacukan Malaysia-Ghana, Rodney Celvin Akwensivie kini sah menjadi pemain Selangor.

Mesra disapa dengan gelaran Bonai sempena nama pemain pasukan kebangsaan Indonesia, Titus Bonai, pemain yang bertubuh sasa ini merupakan pemain kelahiran Sarawak dan pernah bermain bersama pasukan Sarawak FA serta PKNS FA.

Bersama Sarawak, beliau berjaya mencatat sebanyak 12 penampilan pada tahun 2016 hingga tahun 2017.

Kemudian pada tahun 2018, beliau berhijrah ke pasukan PKNS dan berjaya mencatat sebanyak 34 penampilan.

Bermain selaku pemain pertahanan tengah, Rodney berjaya membantu pasukan PKNS untuk berada di tangga ketiga Liga Super musim lalu.

Lahir pada 25 November 1996, Rodney kini berumur 23 namun sudah memiliki corak permainan yang berkualiti.

Bersama pasukan kebangsaan, beliau pernah dipanggil oleh Tan Cheng Hoe untuk mewakili skuad Harimau Malaysia pada Mei lalu.

Selain itu, beliau juga pernah beraksi di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi pasukan Malaysia B23.

Bersama Datuk Ong Kim Swee, Rodney berjaya mencatat debut sewaktu Malaysia bertemu pasukan Bahrain di Sukan Asia tahun lalu.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengucapkan selamat datang kepada Rodney Celvin ke Selangor dan semoga beliau dapat membantu Red Giants kembali menjadi pasukan gergasi Malaysia.

Kepada Bonai, Selamat maju jaya! Main mene-mene!

RECOMENDED LINKS: