Razali Dolhan memberi komen beliau

Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL), Razali Dolhan menggesa semua pemegang taruh Liga Malaysia agar menyahut saranan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, yang mahukan semua pihak memberikan komitmen dalam menjayakan Rangka Tindakan Strategik 50-Tahun MFL atau Next50 2021-2070.

Perkara itu menjadi intipati penting buat Razali yang mengakui hasrat terkandung dalam Next50 berkenaan tidak boleh dicapai jika ada pihak bersikap lepas tangan.

Menurutnya, empat asas utama Next50 itu telah merangkumi semua aspek demi kemajuan pasukan bergerak ke arah profesional setanding dengan liga luar negara.

“Kerjasama antara semua kelab atau pun persatuan serta seruan penyokong sendiri sebagaimana yang disebutkan dalam empat asas utama antara elemen penting perlu diketengahkan.

“Ini bermakna mereka harus memahami akan keperluan dan strategi itu untuk kita sama-sama maju ke hadapan bagi meningkatkan lagi martabat bola sepak kita.

“Tanpa kerjasama semua pihak terlibat, memang sukarlah untuk kita majukan pasukan kita dan sekarang inilah masanya untuk kita ubah apa yang patut dalam memberikan kerjasama terbaik terhadap perancangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Razali menegaskan elemen penyokong kali ini menjadi perhatian utama kerana mereka sentiasa menjadi nadi penting kepada kemeriahan Liga Malaysia.

Justeru, beliau berharap penyokong mampu bersikap terbuka dan positif terhadap segala perubahan yang bakal berlaku terutama melalui hak penstrukturan penyiaran Liga Malaysia.

“Bila kita mempunyai matlamat, maksudnya penyokong itu juga perlu turut ada matlamat untuk menyokong.

“Adalah wajar untuk penyokong ketika ini bertindak ke arah positif selari dengan apa yang diperlukan oleh MFL dan bola sepak negara kita sekarang ini kerana mereka juga sememangnya ada kepentingan dalam membantu Liga Malaysia kita,” katanya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top