Komen Menteri Sukan, Pelancongan dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang disiarkan akhbar New Sarawak Tribune mendapat reaksi pelbagai dari peminat, namun rata-rata bersetuju mahu sesuatu dilakukan oleh kerajaan Sarawak.

Ini dapat diperhatikan melalui komen-komen di media sosial yang rata-rata menyatakan bahawa mereka sedia maklum bahawa Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mempunyai masalah dalaman, namun mahukan kerajaan Sarawak segera campur tangan bagi menangani isu ‘masalah dalaman’ yang dihadapi FAS.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Menurut kebanyakan komen, mereka merasakan campur tangan kerajaan Sarawak perlu memandangkan pasukan di bawah naungan FAS membawa nama ‘Sarawak’ dan oleh itu tidak harus terus mengaibkan Sarawak.

Sesetengah peminat juga mahukan pihak pengurusan kini meletakkan jawatan kerana gagal mengangkat bola sepak Sarawak dengan seorang dua menamakan Presiden Kuching FA, Fazzruddin Abdul Rahman sebagai calon pengganti.

Hadir juga segelintir peminat yang menyatakan jumlah RM7.5 juta yang disalurkan kerajaan Sarawak kepada FAS untuk pembangunan bolasepak sebagai ‘terlalu sedikit’ jika dibandingkan dengan kos yang diperlukan.

Apapun komen peminat, komen dan reaksi pedas dari Datuk Karim berkenaan bola sepak Sarawak itu sudah pasti akan mendapat reaksi dari kem FAS dalam masa terdekat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama nantikan maklum balas yang bakal tiba kelak.