Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Mokhtar Radin telah mengumumkan bahawa Kurniawan Dwi Yulianto akan terus mengemudi pasukan Sabah FC untuk musim 2021.

Perubahan di dalam pelantikan ketua jurulatih Sabah yang baharu itu telah dijangkakan ekoran peletakan jawatan mantan CEO Sabah, Verdon Bahana pada November lalu.

Bung Mokhtar ketika mengumumkan berita tersebut dalam satu sidang media khas di Kota Kinabalu juga berkata bahawa seleksi pemain baharu untuk kelab tersebut akan dilakukan sehingga 12 Januari ini.

Kurniawan sebelum ini telah digugurkan oleh Sabah FC dan tempat beliau telah digantikan dengan Lukas Kalang Laeng, seorang jurulatih dari Sarawak yang mempunyai kemahiran dalam sains sukan.

Pelantikan semula Kurniawan sebagai ketua Jurulatih Sabah FC menutup terus spekulasi bahawa jurulatih berbangsa Indonesia itu akan ke Kuching City FC sebagai penolong jurulatih kepada Irfan bakti.

Selain melantik semula Kurniawan, SAFA juga telah mengambil keputusan melantik Firdaus Akhbar Khan sebagai CEO baharu kelab tersebut.

Turut dilantik adalah Marzuki Nasir, yang akan menjadi Pengurus kepada pasukan utama Sabah FC.