Pelantikan semula Kurniawan Dwi Yulianto ke jawatan Ketua Jurulatih Sabah FC merupakan perubahan terbaharu dalam kem Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) yang kini dimiliki Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).

Dengan Kurniawan kini sah sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut, hadir tanda tanya berkenaan hala tuju Lucas Kalang Laeng.

Lucas sebelum ini telah diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC oleh CEO kelab bola sepak tersebut pada hujung musim lepas bagi menggantikan Kurniawan.

Pada ketika itu, Sabah masih dimiliki Verdon Bahanda, yang pada ketika itu merupakan CEO kepada kelab tersebut.

Dengan Verdon meletak jawatan pada bulan November lalu, struktur dan pemilihan pegawai dan pemain kelab tersebut nampaknya telah berubah, dengan pihak SAFA kini melantik pegawai baharu ke jawatan jawatan utama kelab tersebut.

Persoalannya kini adalah adakan Lucas masih di dalam perancangan pihak Sabah FC, atau adakah beliau kini telah ditamatkan khidmatnya sebelum sempat memulakan tugas di kelab tersebut?

Lucas bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak Sarawak dimana jurulatih berpengalaman itu pernah menjadi penolong jurulatih kepada jurulatih lagenda, Alan Vest.

Selain mempunyai Lesen Kejurulatihan Pro A, Lucas juga mempunyai kelayakan dari segi Sains Sukan, yang merupakan antara punca beliau menjadi pilihan Sabah sebagai ketua jurulatih pada ketika itu.