Setahun tidak beraksi di Liga Malaysia hampir membuatkan Qayyum Marjoni seolah-olah seperti berputus asa untuk kembali bersaing di pentas tertinggi bola sepak negara.
Namun, rezeki tidak pernah salah alamat dan aksi persahabatan membabitkan Kuching City FC dan PIB FC, pasukan yang diwakili Qayyum pada musim lalu, memberikan tuah untuk pemain berusia 29 tahun itu bagi membina semula kerjaya.
Aksi Qayyum dalam perlawanan itu memikat pengendali Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim, yang terus mempelawanya untuk bersama Kuching City untuk musim 2023.
Menganggap seperti peluang kedua, Qayyum memberikan penghargaan kepada Kuching City kerana masih mempercayai kemampuannya untuk bermain di peringkat paling kompetitif di Liga Malaysia.
” Semuanya bermula pada musim lalu apabila saya beraksi di Liga M3 bersama PIB dan satu perlawanan persahabatan telah diaturkan dengan Kuching City.
” Di situ Irfan nampak kelibat saya dan kami sebenarnya bukanlah asing kerana beliau sebenarnya pernah mengajak beraksi bersama Terengganu pada 2018 tetapi saya memilih ke PKNS.
” Jadi tidak sangka sekali lagi kesempatan hadir untuk saya bersama Irfan dan terima kasih juga kepada beberapa individu yang membantu merealisasikan perpindahan saya ke Kuching.
” Azam saya bersama Kuching City ialah mahu menaikkan kembali nama saya di dalam Liga Malaysia serta mahu mendapat panggilan kebangsaan,” katanya.
Qayyum yang berumur 29 tahun pernah menjadi antara prospek bola sepak Kelantan semasa mula diserap dalam pasukan senior pada musim 2016.
Selepas dua musim yang cemerlang, Qayyum yang beraksi di posisi pertahanan kiri memilih ke PKNS selama dua musim (2018-19) selain Kuala Lumpur City dan Kelantan United, untuk dua musim berikutnya.
Bersama Kuching, Qayyum akui tidak berasa janggal walaupun ini pertama kali dia bermain di luar Semenanjung Malaysia sejak bergelar pemain bola sepak profesional.
” Saya kagum dengan semangat kekeluargaan di sini, semua pemain serta jurulatih sentiasa membantu saya apabila mula-mula sampai di sini.
” Semua pemain diberi ruang untuk berikan pandangan dan pihak atasan sering turun ke padang untuk berjumpa kami, ini sesuatu yang sangat menarik.
” Selain itu, saya juga berasa bangga kerana dapat belajar sesuatu dari pemain berpengalaman, Rames Lai Ban Huat, yang telah berusia 43 tahun, antara pemain yang saya sangat hormati,” katanya. – MFL