Pulau Pinang tidak gentar jumpa KL

Pertembungan dua pasukan teratas, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini diibaratkan seperti aksi final Liga Premier dengan tiga mata bakal meletakkan pemenang berada dalam keadaan selesa bergelar juara.

Berbekalkan rekod tanpa kalah yang dimiliki kedua-dua pasukan selepas tujuh perlawanan, sudah pasti aksi Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan berlangsung dengan penuh sengit serta sukar diramal.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira, tidak menafikan banyak elemen menarik bakal terjadi apabila skuad kendaliannya melayani kunjungan Kuala Lumpur di laman sendiri sambil menghormati kekuatan lawan yang dianggapnya punyai kualiti setanding pasukan CIMB Liga Super.

Namun itu tidak bermakna Manzoor gentar dengan keupayaan dimiliki skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff ini sebaliknya skuad Harimau Kumbang sudah bersedia dengan perancangan tersendiri bagi menjerat Kuala Lumpur.

“ Kuala Lumpur ini sebenarnya pasukan setaraf Liga Super jika melihat kualiti serta pemain yang ada pada mereka tetapi kami akan berjuang habis-habisan dalam mendapat tiga mata berharga.

“ Kemenangan ini bukan sahaja meletakkan kami semakin hampir dapatkan slot ke Liga Super malah meletakkan dalam kedudukan baik bergelar juara Liga Premier.

“ Saya juga semakin gembira banyak peningkatan ditunjukkan pasukan terutama sejak kehadiran Lee Chang Hoong yang boleh bermain dalam dua perlawanan lalu kerana banyak membantu Endrick dan Casagrade di bahagian atas, “ katanya.

Dalam masa sama, Manzoor juga mahu memburu kemenangan sebagai tanda terima kasih kepada penyokong-penyokong setia Pulau Pinang yang tidak pernah jemu di belakang pasukan.

Malah yang membuatnya beliau terharu adalah sambutan penyokong-penyokong Pulau Pinang yang sanggup datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada minggu lalu bagi meraikan pemain dan pegawai selepas menang dengan Johor DT II di Larkin.

“ Memang saya berasa sedih juga penyokong tidak boleh hadir ke Bandaraya pada Sabtu ini untuk berikan sokongan kerana jika dilihat di media sosial, begitu banyak sekali komen penyokong terhadap kami.

“ Jika kami berjaya mendapatkan kemenangan dengan Kuala Lumpur, saya mahu hadiahkan tiga mata ini kepada penyokong dan tidak boleh dilupakan ada antara mereka berkorban masa serta tenaga untuk datang ke lapangan terbang bertemu dengan kami, sebelum ini, ” katanya.

Sementara itu, pertahanan berpengalaman Kuala Lumpur, Shukor Adan, tidak mahu rakan-rakannya terlalu tertekan mahu mencari kemenangan sebaliknya fokus hanya untuk mengelakkan kekalahan kepada Pulau Pinang.

Jika mereka berjaya mendapatkan pulang satu mata, ia sudah mencukupi kepada Kuala Lumpur bagi memastikan saingan masih terbuka kepada kedua-dua pasukan memburu kejuaraan Liga Premier.

“ Paling utama selepas perlawanan di sana, kita mesti cuba membawa sebarang mata namun melihat kepada prestasi mutakhir Pulau Pinang dalam beberapa perlawanan sebelum ini, memang kami tidak boleh ambil mudah perlawanan ini.

“ Kekuatan Pulau Pinang memang terletak kepada pemain importnya yang telah bermain di Liga Super dan apabila mereka di Liga Pemier, itu tidak memberikan mereka banyak masalah untuk beraksi dengan baik.

“ Selain itu, pemain tempatan Pulau Pinang juga ramai yang saya kenali dan mereka semuanya berkualiti serta berpengalaman, jadi kombinasi ini antara ramuan yang menjadikan mereka sebuah pasukan yang wajar dihormati, “ katanya.

Lain-lain perlawanan yang berlangsung pada minggu ini ialah membabitkan Sarawak United FC dan Kelantan United FC di Stadium Negeri pada Jumaat manakala Perak II pada Sabtu, melayani kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Pada Ahad, pasukan di tangga ketiga, Terengganu FC II menentang UKM FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu manakala Selangor 2 berdepan JDT II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya selain Kuching FA dan Kelantan di Stadium Negeri, Kuching.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top