Bekas pelajar Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya, Alan Lagang Keryer, telah dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Brad Maloney untuk ke kem latihan pusat selama tiga minggu di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Ini adalah panggilan kedua beliau ke pasukan tersebut jika tidak salah.

Latihan pusat itu dijadualkan bermula pada Isnin, 6 Julai 2020 dan berlangsung sehingga 26 Julai 2020.

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sesi latihan pusat itu adalah sebagai persediaan awal bagi menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober 2020.

Alan sudah lama dikenali sebagai antara bakat muda bola sepak Sarawak dengan pemain yang berkebolehan bermain di posisi sayap dan serangan ini mencipta nama di dalam hampir setiap kejohanan yang beliau sertai.

Beliau bukan sahaja pernah mewakili SMK Tabuan Jaya, malahan telah turut mewakili pasukan Getong Gaters, dan MSSM Sarawak di dalam Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) tahun lepas.

Pada Piala Abang Jo tahun lepas, Alan telah dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Anak kepada mantan pemain Sarawak FA, Keryer Meriya ini juga telah diserap ke pasukan Piala Belia di bawah bimbingan Safri Amit pada musim lepas, dan berjaya menarik perhatian mantan ketua jurulatih pasukan bawah-19 tahun kebangsaan Bojan Hodak pada tahun yang sama.

Pada musim ini, beliau diserap ke pasukan Sarawak United FC.