Posa rebut jawatan lebih tinggi di FAM

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Posa Majais, telah mengesahkan bahawa dia akan merebut jawatan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.

Posa akan merebut jawatan tersebut pada Kongres FAM ke-57 yang akan berlangsung pada 13 Mac ini.

Posa memberitahu Utusan Borneo bahawa dia mahukan jawatan tersebut bagi membolehkan dia membantu FAS dan pasukan – pasukan bola sepak tempatan.

Dia juga merasakan bahawa pemilihannya ke jawatan tersebut kelak akan memberikan pasukan dari Borneo lebih suara di dalam FAM dan Malaysia Football League (MFL).

“Memang sepatutnya mesti ada wakil dari Borneo dalam FAM dan MFL.” kata Posa kepada Utusan Borneo.

Posa dalam pada itu mengakui bahawa dia perlu bekerja keras jika mahu menang jawatan tersebut.

“Kita mesti bekerja keras kerana ada lima calon yang akan merebut empat jawatan yang dipertandingkan.

“Saya difahamkan ada wakil dari Sabah (Johari) juga akan bertanding jawatan tersebut,” katanya lagi.

Memenangi jawatan Naib Presiden FAM akan menambah jawatan sedia ada yang dipegang Posa.

Selain presiden FAS, Posa juga memegang beberapa jawatan penting dalam bola sepak Sarawak termasuk Pengurus Pasukan Pasukan Harimau Malaya (Malaysia), Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Sibu, dan Pengarah Kelab Bolasepak Sarawak United.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top