Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Posa Majais, telah sah memenangi salah satu daripada empat jawatan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipertandingkan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 hari ini.
Pemilihan tersebut dibuat pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-57 yang berakhir hari ini.
Pemilihan Posa adalah selepas kesemua 20 ahli gabungan FAM diberi masa selama 30 hari iaitu dari 13 Januari 2021 hingga 11 Februari 2021, untuk mengemukakan senarai nama calon masing-masing bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), dengan 28 orang calon, termasuk Posa, layak diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan selepas mendapat jumlah pencalonan minimum seperti yang termaktub dalam Artikel 27, perenggan 4, Statut FAM Edisi 2020.
Jawatan Naib Presiden mendapat empat pencalonan, dengan jawatan tersebut mempuyai empat kekosongan.
Selepas tarikh akhir untuk calon-calon berkenaan mengembalikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan pada Februari lalu, 27 orang calon telah menyatakan penerimaan mereka untuk dicalonkan bagi jawatan yang dinyatakan.
Kesemua 27 calon, termasuk Posa telah juga disaring integriti oleh Unit Integriti FAM yang mana membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Posa bukan nama asing dalam bola sepak Malaysia kerana dia juga merupakan pengurus pasukan Harimau Malaya, Presiden FAS, Pengarah dan pemilik bersama Sarawak United dan juga Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Sibu.
Dalam pemilihan tersebut, YBhg. Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin juga telah berjaya mengekalkan kedudukan beliau sebagai Presiden FAM dalam kongres tersebut, manakala YBhg. Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi dan YH Dato’ Sivasundaram A/L Sithamparam Pillai dilantik ke jawatan Timbalan Presiden.
Turut menjadi Naib Presiden FAM bagi 2021 – 2025 seperti Posa adalah Mohd Firdaus bin Mohamed, YBhg. Datuk Haji Rosmadi bin Ismail dan Mohd Joehari bin Mohd Ayub.