Home Malaysian football Posa janji langsai gaji tertunggak sebelum Mac ini

Posa janji langsai gaji tertunggak sebelum Mac ini

Pemilik Sarawak United FC, Posa Majais sekali lagi berjanji akan melangsaikan tunggakan gaji pemain pasukan tersebut.

Menurut laporan Arena Metro, Posa berjanji melunaskan tunggakan gaji tersebut sebelum bulan Mac 2023 ini.

Posa dipetik laporan akhbar tersebut sebagai berkata bahawa jumlah keseluruhan tunggakan adalah lebih RM1 juta dan pihaknya sudah menerima peruntukan kewangan dan menerima kelulusan untuk menyerahkan duit tersebut kepada pemain.

Posa juga mengakui bahawa pemain sudahpun dimaklumkan berkenaan berita gembira itu.

“Kami sudah pun memaklumkan perkara itu (pembayaran tunggakan gaji) kepada pemain dan akan mula membayar bermula Februari ini secara berperingkat.” kata Posa kepada Arena Metro.

“Dana yang diperoleh Sarawak United baru-baru ini mencukupi untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji dan berharap pemain bersabar dalam tempoh sedikit masa lagi.

“Pada masa sama, kami faham kesulitan yang dialami pemain apabila gaji mereka tertunggak namun pengurusan Sarawak United tidak pernah lepas tangan atau membiarkan mereka begitu saja,” katanya lagi.

Sebelum ini pemain Sarawak United telah mengambil tindakan melahirkan kekecewaan mereka berkenaan culas gaji oleh majikan mereka melalui satu temubual yang disiarkan HarimauMalaya.com.

Pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) juga telah turut campur tangan berkenaan hal tersebut dengan menghantar notis kepada Sarawak United bulan ini.

Sementara itu, Posa berharap isu tunggakan gaji Sarawak United tidak akan diperkatakan lagi apabila semua tunggakan telah selesai dibayar kelak.

Previous articleAbang Zulkarnain hampir pasti Presiden FAS baharu
Next articleKalendar Bola Sepak Liga Malaysia 2023 diumumkan secara rasmi