Dengan sah bahawa Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan mengambil alih Selangor United dan menjenamakan semula pasukan tersebut kepada Sarawak United, isu dana pasukan mula jadi bualan di media sosial.

Dalam artikel Suara Sarawak yang menemui Presiden FAS, Posa Majais secara eksklusif, Posa dipetik sebagai berharap agar dana dari kerajaan Sarawak dapat disalurkan awal musim bagi membentuk pasukan dan pemain terbaik.

Sebelum ini, FAS menerima geran tahunan daripada pihak kerajaan Sarawak bagi pembangunan bola sepak Sarawak dengan nilai yang diterima dikhabarkan mencecah jutaan.

Malahan, Menteri Sukan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah pada tahun 2018 pernah berkata bahawa geran yang diperuntukkan untuk FAS adalah yang terbesar di kalangan badan sukan.

Pada musim 2019, FAS juga telah dipetik memohon dana tambahan dari kerajaan Sarawak.

Pengurus Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) juga memberikan geran khas kepada setiap pasukan yang bertanding di Liga Malaysia pada setiap tahun.

Geran Sarawak walaubagaimanapun telah ditolak sebahagiannya oleh MFL ekoran masalah berkaitan gaji.

Dengan FAS kini bakal memiliki pasukan Selangor United dan menjenamakannya kepada pasukan Sarawak United, persoalan yang menjadi tanda tanya semua adalah nasib pemain dan pihak pengurusan Selangor United kerana adalah hampir pasti pasukan baharu tersebut akan beroperasi di Sarawak.

Turut menjadi isu hangat yang dibincangkan adalah dana yang akan digunakan oleh Sarawak United kelak kerana ianya bukan rahsia FAS menghadapi masalah mendapatkan dana sejak musim 2017.

Untuk rekod, Selangor United khabarnya telah mahu menarik diri dari Liga Premier ekoran masalah kewangan sebelum ini.