PKP hikmah kerana berpeluang untuk bersama keluarga

Penjaga gol Kuching FA, Mohd Iqbal Suhaimi banyak meluangkan masa bersama keluarga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iqbal yang berasal dari Pahang, menyatakan PKP boleh dianggap hikmah kerana beliau kini boleh menghabiskan banyak masa dengan isteri dan anak-anaknya.

Jelas Iqbal, situasi ini berbeza apabila Liga Malaysia sedang berjalan di mana masa bersama keluarga terbatas ekoran faktor perlawanan liga dan komitmen latihan.

“Sebelum ini, masa bersama keluarga agak terbatas sedikit kerana faktor kerja seperti perlawanan liga di tempat lawan dan komitmen latihan bersama pasukan.

“Jadi semasa PKP ini ada hikmahnya juga apabila dapat membantu isteri di dapur dan melihat anak-anak membesar di depan mata,” katanya lagi kepada Suara Sarawak.

Sungguhpun gembira dengan masa bersama keluarga, Iqbal meengakui beliau berharap liga boleh bersambung semula secara biasa.

Menurut Iqbal, bola sepak adalah punca pendapatan beliau sebagai pemain profesional, dan oleh itu ianya penting bagi memastikan beliau terus mempunyai pendapatan.

Beliau walaubagaimanapun mengakui bahawa setiap individu perlu patuh akan perintah kerajaan dan juga Parsatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Saya berharap perlawanan liga kita dapat di sambung semula kerana sebagai pemain bola sepak profesional ia adalah punca rezeki kami.

“Namun begitu, kita juga kena patuh dengan arahan kerajaan dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia demi keselamatan semua pihak,” tambahnya lagi.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top