Gaji pemain Kedah FA dilaporkan belum lagi dibayar. Menurut laporan Arena Metro, pemain pasukan tersebut didakwa belum menerima tunggakan gaji sejak dua bulan yang lalu.

Laporan Arena Metro itu juga mendakwa bahawa pemain Kedah FA masih belum menerima gaji penuh bagi bulan Februari selain gaji Mac yang masih tertunggak sepenuhnya dengan laporan tersebut memetik sumber dalaman yang menyatakan bahawa Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hanya mengkreditkan sebanyak 30 peratus gaji Februari dengan 70 peratus lagi pembayaran masih tertangguh.

“Dah dua bulan gaji tak masuk, sejak bulan dua (Februari) lagi. Itu pun mereka (KFA) ada bayar sikit tapi yang selebihnya masih tak dapat lagi. Kalau bulan dua pun sangkut, dah tentu bulan tiga (Mac) pun tak nampak bayang.

“Kalau ikutkan setiap 7 haribulan pemain akan dapat gaji. Kebetulan tarikh itu lusa dan rata-rata pemain memang tunggu dan kalau tak masuk juga, kira gaji dah tertunggak selama tiga bulan.

“Kesian kat pemain tak dapat sambut Ramadan dengan hati senang. Belum lagi cerita untuk sambut hari raya. Baju raya semuanya nak kena beli awal dan terpaksa beli dalam talian sebab Covid-19.

“Kalau berterusan macam ini, kesian ahli keluarga pemain yang mungkin tak dapat beraya semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya,” kata sumber kepada Arena Metro.

Isu tunggakan gaji pemain Kedah telah disuarakan Penaung Diraja Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada bulan lalu.

KFA menerusi Setiausaha Kehormatnya, Asmirul Anuar Aris walaubagaimanapun menjelaskan kelewatan itu berpunca daripada kegagalan pihak penaja menjelaskan bayaran mereka ekoran krisis pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan kepada kewangan pihak penaja.