Miri telah sah ditabalkan sebagai juara Piala Sarawak hujung minggu ini tadi, namun di sebalik kejayaan Miri itu, terdapat berita kurang enak pula yang timbul, diibaratkan sebagai “Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”.
Menurut laman Facebook Peminat Bola Sepak Limbang, penganugerahan penjaring terbanyak atau ‘kasut emas’ pertandingan Piala Sarawak telah tersilap diberikan, namun tidak ada sebarang usaha untuk membetulkan kesilapan tersebut dari pihak penganjur.
Menurut status yang dimuat naik laman Peminat Bola Sepak Limbang, penjaring terbanyak kejohanan adalah pemain Limbang FA Shahrudin Yakup dengan jumlah jaringan lima gol, namun pemenang anugerah kasut emas dianugerahkan kepada pemain yang hanya menjaringkan empat gol sahaja sepanjang pertandingan, yakni Roslan Unos.
Di bawah ‘screen grab’ luahan laman FB tersebut.
Pihak Peminat Bola Sepak Limbang dalam pada itu mempersoalkan jika kesilapan telah dibuat secara sengaja, terutama sekali apabila pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dilihat berdiam diri di atas isu tersebut biarpun Piala Sarawak 2017 sudahpun berakhir selepas hampir seminggu.
Laman web rasmi FAS, serta juga laman FB rasmi FAS dan juga Piala Sarawak kami dapati tidak ada membuat sebarang pengumuman berhubung isu ini sehingga berita ini ditaip.
Terus terang kami nyatakan, kami di pihak SarawakCrocs tidak mengetahui siapa penjaring terbanyak kejohanan, mahupun mengetahui statistik pertandingan Piala Sarawak, namun ada baiknya jika statistik kejohanan tahun ini dikeluarkan kepada umum agar isu ini boleh ditutup dan diselesaikan.
//Terima kasih kepada saudara (yang tidak mahu dikenali) kerana memanjangkan berita/hal ini kepada kami.