Tindakan FMLLP mewujudnya Piala Cabaran atau ‘Challenge Cup’ dilihat memberi sinar baru kepada lapan pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia.
Tiga pasukan negeri, dua pasukan “feeder”, dua pasukan universiti dan satu pasukan jemputan akan bersaing merebut piala ini dan ia akan menjadi satu pertandingan yang menarik dan kompetitif serta pasti menghidangkan drama dan suspen kepada para penyokong.
Piala Cabaran ini janganlah dianggap sebagai piala pasukan yang kalah atau lemah. Sebaiknya ia dianggap peluang kedua dan dalam hidup ini bukan mudah kita mendapat peluang kedua.
Memenangi apa jua piala pasti akan dianggap kejayaan dan satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Lihat sahaja bagaimana gembiranya Belgium apabila memenangi perebutan tempat ketiga di Piala Dunia walaupun tidak bergelar juara dunia.
Bagi pihak pengurusan, mereka tidak akan membayar gaji buta kepada pemain setelah tamat liga dan pemain pula dapat bermain sekurang-kurangnya 6 perlawanan tambahan bagi menjaga stamina mereka.
Inilah peluang untuk semua pasukan bertanding, seperti Sarawak FA, memenangi piala secara merit. Dan penyokong sudah pasti teruja jika pasukan mereka layak ke final di venue yang akan ditentukan kelak.
Kini persoalannya adalah siapakah yang bakal bergelar juara sulung Piala Cabara?
Sama-sama kita nantikan dan ayuh turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan anda.
Inilah masanya untuk membuktikan kepada pasukan bahawa anda ada ketika pasukan senang atau susah. – SARAWAKCROCS.COM/JJF