E. Elavarasan mungkin lebih selesa dengan barisan pemainnya selepas menyaksikan pasukan beliau menang 2-0 ke atas Kuching City FC malam Rabu tadi.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan bimbingannya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Premier 2021, sekaligus menyaksikan pasukannya mengekalkan kedudukan di atas liga buat masa ini.
Menurut Elavarasan, perlawanan menentang Kuching City menyaksikan barisan pertahanan beliau diuji dengan baik.
Beliau menyatakan bahawa beliau telah membuat sedikit perubahan taktikal dengan bilangan penyerang yang digunakannya, dan ini sekaligus memberi indikasi berkenaan kekuatan pasukan.
“Lepas dua perlawanan ini, pada perlawanan ketiga ini, barisan pertahanan kita dapat diuji dengan lebih baik.” kata Elavarasan selepas perlawanan menentang Kuching City tamat.
“Sebab sebelum ini kita menurunkan hanya satu pemain penyerang import, tetapi hari ini (Rabu lalu) kita telah menurunkan dua penyerang import, jadi kita boleh tahu bagaimana pasukan ini.”
Elavarasan juga memuji ketangkasan bekas penjaga gol kebangsaan Sharbinee Allawee serta pemain import pertahanan baharunya Taylor Regan.
Beliau berkata bahawa mengekalkan rekod tanpa kalah akan memberi keyakinan kepada pasukan untuk perlawanan akan datang.
“Secara keseluruhan Taylor telah dapat memainkan satu peranan yang penting untuk pertahanan kita sebab kalau anda lihat kita tidak ada bolos dalam tiga perlawanan dan ini adalah baik.”
“Sebab kalau ada rekod macam ini (tanpa bolos), dan bukan semua perlawanan sama, semua perlawanan berlainan.
“Tetapi keyakinan kita bertambah kalau kita boleh kekalkan rekod tanpa bolos.
“Sharbinee juga memainkan satu peranan yang baik dalam bahagian penjaga gol.” ujarnya lagi.
Sarawak United kini memiliki jumlah mata maksimum hasil tiga perlawanan dan belum bolos walaupun sekali sehingga kini.