Sarawak United kekalkan rentak kemenangan tanpa bolos

Raja Kuching malam ini telah dinobatkan kepada Sarawak United apabila kelab tersebut berjaya menewaskan seteru setempatnya Kuching City FC dalam perlawanan Liga Premier ketiga kedua – dua pasukan malam tadi.

Pasukan yang kini berpangkalan di Melaka itu, merampas gelaran tersebut dari Kuching, yang sebelum ini telah menewaskan kelab milik Persatuan Bolasepa Sarawak (FAS) dalam derbi Kuching musim lepas.

Sarawak United yang merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini tidak menunggu lama untuk meletakkan diri di hadapan apabila Uche Agba menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-9.

Kuching City cuba bangkit dengan mengawal hampir keseluruhan perlawanan pada babak pertama melalui hantaran – hantaran pendek yang menarik.

Sungguhpun demikian, pasukan tuan rumah, Sarawak United, sekali lagi berjaya menambah gol kedua perlawanan melalui pemain naturalisasi Stuart Wark.

Wark berjaya menjaringkan gol dengan melambungkan bola masuk ke gawang gol, menewaskan Iqbal Suhaimi yang kehilangan fokus ekoran perebutan di depan pintu golnya sebelum wisel babak pertama ditamatkan.

Pada babak kedua, kedua – dua pasukan saling berbalas serangan, dengan Kuching City menghadirkan beberapa cubaan berbahaya melalui Bryan Jones dan Yuta Suzuki.

Hairol Mokhtar juga hampir merapatkan jurang gol pada minit – minit akhir perlawanan, namun cubaan di dalam petak penaltinya sipi ke sebelah kanan pintu gol.

Pertahanan kedua – dua pasukan kekal kebal sehingga tamat babak kedua, sekaligus menyaksikan Sarawak United bukan sahaja meneruskan rentak kemenangan malam ini, tetapi juga meneruskan rekod tanpa bolos pasukan bimbingan E. Elavarasan itu.

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top