Umum sudah tahu bahawa dua buah persatuan berkaitan bolasepak Sarawak sudah meminta Posa Majais meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).
Persatuan Bolasepak Bahagian Samarahan yang diketuai oleh Iskana Bujang lantang mempersoalkan kepimpinan Posa, dan kelantangan mereka disokong oleh Persatuan Bekas Pemain Sarawak.
Menurut tinjauan yang kami jalankan di laman sosial Facebook kami pula, peminat Bujang Senang lantang mahu Posa berundur dengan hampir 94 peratus mahu Posa berundur.
Peratus itu mewakili 985 orang daripada lebih 1,000 yang mengundi did alam bancian mudah yang kami buat di laman Facebook kami.
Sungguhpun tuntutan Posa berundur amat kuat di kalangan peminat, persoalannya adalah siapa akan menggantikan Posa jika dia berundur.
Jika diingat balik, Posa telah menjadi presiden FAS selepas Datu Sudarsono Osman mengundur diri dari kancah bolasepak Sarawak pada akhir tahun 2016
Pengunduran Sudarsono menyaksikan jawatan Presiden FAS gagal diisi oleh mana-mana individu memaksa jawatan tersebut dipangku oleh Timbalan Presiden pada ketika itu, Abdul Wahab Rahim.
Selama beberapa bulan, tidak hadir ‘Pak Sanggup’ untuk jawatan tersebut, baik dari kalangan ahli biasa, mahupun ahli politik, sehingga hadirnya Posa.
Posa menerima tugasan tersebut pada awal Januari 2017 dan terus mula mengorak langkah melakukan perubahan mengikut rentak sendiri.
Dasar-dasar lama dibawah Datu Sudarsono yang dianggap tidak berfungsi telah diganti dengan dasar baharu yang menjadi idea Posa, dan kesannya adalah pasukan Sarawak FA yang kini wujud di Liga Premier Malaysia.
Sesungguhnya kami tidak perlu menceritakan keadaan bolasepak Sarawak yang kini amat hebat dengan cerita sensasi di luar padang permainan sejak 2 tahun lalu, namun buat masa ini belum ada calon yang mahu menjadi ‘Pak Sanggup’ untuk memikul tugas yang dipegang Posa.
Tidak perlu kami menyentuh berkenaan dana, sebab pada hemah kami, persatuan yang diuruskan dengan betul dan professional akan menggunakan dana persatuan untuk menguruskan pasukan dan persatuan, dan bukan wang peribadi seseorang individu.
Oleh itu, jika tiada ‘Pak Sanggup’ yang mahu mengambil tugas Presiden FAS dari Posa, tiadalah gunanya Posa disingkirkan.
Sebabnya adalah mudah, kalau bukan Posa, siapa lagi?