Kejayaan Sarawak United FC mengekalkan rekod tanpa kalah, dan memungut mata penuh apabila menentang Kelantan FC hujung minggu lalu disambut gembira oleh ketua jurulatih kelab tersbeut, E. Elavarasan.

Elavarasan yang ditemui selepas perlawanan menyatakan bahawa perlawanan tersebut semamangnya amat ketat, dan pasukannya mempunyai kerisauan berkenaan kemampuan Kelantan untuk mencipta kejutan.

Ini adalah memandangkan Kelantan memerlukan kemenangan, dan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.

“Kemenangan ini untuk kita penting. Perlawanan di tempat lawan juga. Kita pun risau juga kerana Kelantan juga perlukan kemenangan dan saya rasa kita ada satu tentangan yang kuat dalam perlawanan ini.” kata Elavarasan selepas perlawanan.

Elavaran juga menyatakan bahawa keseimbangan perlawanan itu menyaksikan kelebihan memihak kepada pasukannya kerana mereka berjaya memanfaatkan peluang.

“Perlawanan ini seimbang biarpun peluang kita lebih, tetapi dalam perlawanan sebagini adalah bagaimana kita menggunakan peluang.” ulas Elavarasan.

Dalam perkembangan sama, Elavarasan juga mengakui kedua – dua pasukan telah bermain degan lebih berhati – hati, dan pemain – pemain beliau telah juga berbuat demikian bagi mengekalkan kelebihan satu jaringan.

“Dalam minit – minit akhir, kedua – dua pasukan takut untuk membuat kesilapan.

“Nasib baik kita boleh mengekalkan persembahan sehingga mata penuh. Ini mata yang berharga untuk kita.” kata Elavarasan lagi.

Kemenangan Sarawak United ke atas Kelantan menyaksikan kelab itu memperkuatkan lagi kedudukan mereka di tangga kedua Liga Premier, kurang satu mata dari pendahulu kini, Negeri Sembilan.

Sungguhpun demikian, Sarawak United memiliki kelebihan satu jaringan berbanding Negeri Sembilan, dan boleh memintas Negeri Sembilan dengan memperolehi mata penuh pada perlawanan seterusnya.