Berita pengunduran Datu Sudarsono Osman, Datu Abu Bakar dan Abdullah Julaihi dari memegang jawatan tiga tertinggi di Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) tidak diterima baik oleh lagenda dan juga bekas ketua jurulatih Sarawak, Awang Mahyan.
Mahyan berkata demikian apabila mengulas keputusan tiga pemegang jawatan tertinggi FAS yang mengambil keputusan tidak mempertahankan kerusi yang dipegang mereka di FAS.
Menurut Mahyan, beliau tidak dapat memikirkan individu lain yang berkeupayaan dan cukup berkaliber untuk mengemudi FAS buat masa kini, dan berpendapat ketiga-tiga individu tersebut masih boleh berbakti dalam membangunkan bolasepak Sarawak.
Mahyan juga merasakan bahawa ketiga-tiga individu tersebut boleh mengemudi Sarawak menjadi kuasa bolasepak jika diberi lebih masa.
Tambah Awang, beliau merasakan pemergian mereka daripada jawatan tertinggi FAS adalah tidak baik untuk perkembangan bolasepak Sarawak, dan beliau berharap mereka akan mempertimbangkan keputusan tersebut, atau sekurang-kurangnya mencari individu yang boleh mempertahankan bolasepak di peringkat tertinggi.
FAS akan bersidang esok untuk menentukan halatuju bolasepak Sarawak.