Biarpun mendahului Liga M3, ketua jurulatih pasukan Kuching FA, Ideris Untong enggan pemain bimbingnya mendabik dada.
Sebaliknya, Ideris mahu pemainnya terus fokus, dan memberikan yang terbaik di dalam baki 11 perlawanan yang bakal dilalui pasukan Kuching kelak dan memastikan mereka kekal fokus biarpun kini agak tertekan kerana jarak diantara Kuching dan Kelantan United terlalu dekat.
Ideris yang dipetik akhbar New Sarawak Tribune berkata pemain beliau telah diingatkan agar mengambil setiap perlawanan secara serius, dan tidak mudah putus asa apabila mereka ketinggalan.
Beliau dipetik akhbar tersebut sebagai berkata sebarang keputusan seri atau kalah boleh menyaksikan pasukan Kelantan United memintas mereka sebagai pendahulu liga.
Menurut Ideris “Saya telah memberitahu mereka untuk mengambil semua perlawanan secara serius dan tidak berputus asa biarpun telah ketinggalan”.
Kuching telah melalui 15 perlawanan dan memenangi hampir kesemua perlawanan yang mereka tempuhi.
Jika Kuching berjaya mengekalkan momentum kemenangan mereka sehingga akhir musim dan muncul juara Liga M3, pasukan Kuching akan secara automatik naik ke Liga Premier.
Walaubagaimanapun, jika Kuching turun ke tempat kedua, perlawanan play-off ke Liga Premier bakal menjadi habuan dengan pasukan bimbingan Ideris Untong itu bakal berdepan Sarawak FA di dalam pertemuan yang akan menentukan pasukan yang akan bermain di Liga Premier musim hadapan.