Seorang pemain penyerang kelahiran Jepun berminat untuk menyarung jersi Kuching FA.

Demikianlah lapor Suara Sarawak yang mendakwa bahawa Akira Higashiyama sedang memasang impian untuk mewakili pasukan Liga Premier itu. Menurut laporan Suara Sarawak, Higashiyama berumur 30 tahun dan juga memiliki Lesen AFC dan Lesen A Kejurulatihan.

Akhbar tersebut juga menyatakan bahawa Higashiyama hadir untuk sesi pengujian selepas beliau dipelawa oleh pemain import Kuching kini, Yuta Suzuki.

Laporan Suara Sarawak juga menyebut bahawa Suzuki adalah rakan rapat Higashiyama dan ini menyebabkan mereka mempunyai persefahaman yang baik.

Carian kami di internet mendapati pernah bermain untuk pasukan Mongolia Ulaanbaatar City FC, pasukan Kemboja Western Phnom Penh FC dan pasukan Thailand Samutprakan United FC.

Beliau berumur 30 tahun, dan telah mendapat lesen kejurulatihan A pada tahun lepas.

Beliau boleh bermain sebagai penyerang, tetapi lebih gemar bermain sebagai pemain tengah.

Kuching sedang mencari pemain import baharu untuk mengisi slot pemain import yang ada.

Buat masa ini, Kuching hanya menyenaraikan Suzuki sebagai pemain import mereka.