Pemain kelahiran Brazil, Marcio Gleydson da Silva Santos, atau lebih dikenali sebagai Marcio Santos sedang mencuba nasib bersama kelab bolasepak Kuching FA.

Menurut laporan Utusan Sarawak, Marcio telah tiba di Kuching pada hari Isnin lalu.

Akhbar tersebut juga memetik Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching sebagai berkata bahawa pihak kejurulatihan Kuching FA masih lagi meneliti potensi dan keupayaan Marcio, dan keputusan akan dibuat kemudian berkenaan status beliau.

Marcio merupakan pemain tengah yang telah pernah bermain di Thailand dan Cambodia sebelum ini. Beliau pernah mencuba nasib untuk mewakili Kelantan musim lepas, namun tidak berjaya memikat pihak kejurulatihan pasukan tersebut.

Antara kelab yang pernah diwakilinya adalah Phuket FC di Thailand dan Rakhine United F.C. di Myanmar.

Dalam perkembangan sama, akhbar itu juga mengatakan bahawa satu lagi pemain import akan hadir di Kuching untuk menyertai sesi pemilihan pasukan Kuching FA.

Kuching dilaporkan akan terus mengekalkan pemain Jepun, Yuta Suzuki untuk musim hadapan, dan sedang mencari pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukannya bagi menghadapi Liga Premier.

Kuching merupakan pasukan baharu di dalam Liga Premier selepas pasukan yang baru berusia 4 tahun itu melayakkan diri ke Liga Premier selepas menewaskan pasukan Sarawak FA yang kini dijenama semula sebagai Sarawak United B.

Pasukan bertapak di Kuching itu juga baharu sahaja mendapat lesen kelab bolasepak yang membolehkkannya bermain di Liga Premier musim ini.