Pasukan Futsal Sarawak United telah menerima keputusan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membatalkan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL).
Pengurus Pasukan Futsal Sarawak United, Mohd Zaifulfadillah Junaidi berkata kesihatan dan keselamatan semua pihat terlibat adalah lebih utama di dalam hal ini.
“Pasukan futsal Sarawak akur dengan keputusan tersebut dengan mengambil kira kebajikan serta menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak terlibat terutama pemain-pemain muda,” katanya kepada Utusan Borneo.
“Ia hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti riadah dengan penjarakan sosial satu meter dan tidak melebihi 10 individu.
“Namun, sebarang penganjuran perlawanan atau pertandingan masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Zaifulfadillah juga menyatakan bahawa pihak pengurusan futsal Sarawak United telah sebulat suara membincangkan hala tuju pasukan kendalian mereka dan telah mengambil langkah berat untuk melepaskan semua pemain dan pegawai terlibat.
“setelah perbincangan dilakukan dengan rasa berat hati pengurusan pasukan futsal Sarawak melepaskan semua pegawai dan pemain daripada kontrak mereka.
“Pengurusan ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain atas sumbangan dan komitmen diberikan sepanjang sesi latihan dan kejohanan (perlawanan menentang Pahang Rangers) yang telah diadakan,” jelasnya.