Pasukan dari Sarawak sama nasib di dalam padang dalam Liga Malaysia 2023

Liga Malaysia musim ini menyaksikan pasukan – pasukan dari Sarawak tidak menyerlah dalam tiga liga utama bola sepak Malaysia.

Biarpun masih mempunyai peluang untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dengan beberapa perlawanan akan datang, ketiga – tiga pasukan dari Sarawak, yakni Kuching City FC, Kuching City FC (U20) dan Sarawak United FC, kini hadir dengan nasib yang serupa, dan masalah yang sama di dalam padang.

Kuching City FC

Kuching City FC dilaporkan berbelanja agak besar musim ini bagi memastikan mereka boleh bersaing di dalam Liga Super.

Sungguhpun demikian, kehadiran mereka di Liga Super musim ini, biarpun secara merit, belum menampakkan hasil sehingga kini.

Pasukan bimbingan Irfan Bakti kini bergelut di tangga bawahan Liga Super dan boleh dikatakan mampu bernafas lega mengenangkan Liga Super tidak ada penyingkiran musim ini.

Dengan baki 11 perlawanan, Kuching City masih mampu memperbaiki kedudukan mereka untuk menamatkan saingan liga di kedudukan pertengahan liga jika berjaya memenangi semua baki perlawanan, Sungguhpun demikian, kelab dari Kuching itu tidak akan berupaya lagi mencabar JDT FC yang telah mengumpul mata yang terlalu banyak dan kini gah di persada liga.

Untuk bangkit, Kuching City perlu memperbaiki bahagian pertahanan yang kini merupakan gawang ke-empat paling bolos di dalam liga, dengan kelab sama memiliki bahagian serangan yang paling tumpul di dalam liga sama.

Kuching City (U-23)

Pasukan belia atau simpanan Kuching City dilihat mempunyai rekod yang lebih baik berbanding pasukan utama mereka biarpun mereka kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga MFL.

Ini adalah kerana pasukan tersebut bermain di dalam Kumpulan B Liga MFL yang mempunyai bilangan pasukan yang lebih sedikit, dan telahpun mengecapi dua kemenangan dan empat keputusan seri.

Dengan tinggal dua perlawanan lagi, pasukan simpanan Kuching City ini masih mampu lagi merampas tahta pendahulu Kumpulan B Liga MFL jika mempunyai nasib dan memenangi semua baki perlawanan mereka.

Untuk mendapat keputusan sedemikian, pasukan simpanan ini perlu memperkemaskan bahagian pertahanan mereka dan memastikan mereka mengekalkan rentak menjaringkan gol.

Sarawak United

Umum tahu Sarawak United mempunyai pelbagai masalah di luar padang.

Di dalam padang, kelab milik Posa Majais itu terus hambar dengan kekalahan demi kekalahan yang kini menyaksikan pasukan tersebut terdampar di kedudukan kedua tercorot Liga M3, yang merupakan Liga Amatur tertinggi Malaysia.

Secara matematik, Sarawak United masih boleh menjadi juara Liga M3 jika lawan mereka tewas semua perlawanan dan mereka memenangi semua baki perlawanan.

Sungguhpun demikian, ianya boleh dianggap mustahil kerana nasib juga amat perlu untuk itu berlaku.

Oleh itu, adalah lebih realistik untuk mengatakan Sarawak United masih lagi boleh menamatkan musim di pertengahan Liga M3 jika mereka mula memenangi semua perlawanan yang bakal mereka tempuhi.

Mereka bukan sahaja perlu memperbaiki bahagian pertahanan mereka yang kini kedua paling banyak dibolosi di dalam ligatetapi perlu juga mengasah bahagaian serangan yang hanya menjaringkan sembilan gol dari 11 perlawanan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top