Tidak dinafikan, bola sepak mempunyai potensi besar untuk diterokai.
Laungan #BubarSarawakFA sejak akhir-akhir ini bukanlah untuk mematikan bola sepak Sarawak, tetapi ianya lebih ke arah memperkasakan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam mengurus tadbir sukan ini secara mapan.
Sejak mengenali bola sepak, kita akan beranggapan bahawa FAS dan pasukan Sarawak ialah entiti yang sama.
Ini boleh dimaafkan kerana pasukan Sarawak atau Ngap Sayot dikenali selama ini membawa logo FAS, dan statusnya sebagai pasukan negeri dibawah kendalian FAS. Pemahaman yang tidak betul inilah yang harus kita ubah.
Bayangkan jika senario bola sepak Malaysia, dan Sarawak khususnya dapat berubah daripada penglibatan pasukan negeri ke kelab atau komuniti.
Untuk Sarawak, kita boleh andaikan FAS merancang pelan piramid bola sepak Sarawak untuk mencungkil, memperkasa dan memasarkan bakat tempatan, di samping meningkatkan kualiti dan nilai komersil bola sepak Sarawak untuk jangka masa panjang.
Apakah pelan piramid bola sepak Sarawak?
Ianya adalah satu struktur lengkap yang merincikan pergerakan pasukan-pasukan kelab dan bahagian yang bertanding di negeri Sarawak.
Bayangkan jika anda menetap di Belaga, anda mungkin boleh bersorak raikan pasukan Kapit Rapids beraksi. Pemain berpotensi ini boleh dicungkil untuk bermain secara profesional dalam liga utama Sarawak yang boleh dibangunkan setaraf Liga Super Malaysia, atau lebih hebat lagi. Kemuncaknya, pemain ini boleh bermain dengan pasukan Sarawak untuk kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA) atau Piala Malaysia.
Seronok bukan? Ianya bukan sesuatu yang mustahil. Sebagai penyokong, kami merasakan keseronokan bola sepak dengan struktur sebegini akan menarik minat penyokong dari luar Sarawak.
Kami akan menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana piramid ini boleh direalisasikan.
Daripada kami di SarawakCrocs, Salam Aidiladha kami ucapkan kepada pengikut SarawakCrocs yang beragama Islam. – SARAWAKCROCS.COM/RSI
Layari www.thekedey.com untuk mendapat baju unik.