Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah melahirkan kerisauan beliau berkenaan krisis yang melanda Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).
Komen beliau hadir selepas wujud segelintir mantan pemain dan pengurus pasukan Sarawak FA yang mahu Presiden FAS, Posa Majais meletak jawatan.
Abdul Karim dalam pada itu percaya bahawa sebarang masalah dan pertelingkahan dalam FAS boleh diselesaikan secara baik.
“Saya merasa sedih apabila membaca mengenainya” kata Abdul Karim dalam laporan akhbar Borneo Post.
“Bola sepak adalah sukan yang sangat popular di Malaysia dan kita mempunyai pasukan yang bermain di Liga Malaysia.
“Sebagai Menteri Sukan, saya tidak mahu bola sepak tenggelam, dan saya juga mahu FAS ditadbir dengan baik” katanya lagi.
Karim dalam pada itu mengesahkan beliau akan mengadakan perjumpaan dengan FAS berkenaan krisis tersebut.
“Kini terdapat perpecahan di antara bahagian, dan saya tidak mahu lihat konflik seperti ini berlaku di kalangan mereka” katanya lagi.
Karim dalam pada itu berpendapat bahawa perbuatan saling menunding jari tidak akan membantu menyelesaikan masalah FAS.
Posa sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa FAS mungkin akan menarik diri dari Liga Malaysia pada musim hadapan.
Susulan tindakan tersebut, beberapa mantan pemain dan pegawai Sarawak FA telah membuat sidang media bagi meminta Posa supaya berundur.