Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan pasukan Sarawak FA mungkin menarik diri daripada Challenge Cup.
Sebaliknya, Sarawak kekal untuk bersaing dalam merebut gelaran juara sulung piala ini.
Ini adalah satu khabar yang menggembirakan semua pihak.
Berdasarkan ini, kami melihat bahawa terdapat beberapa sebab mengapa Sarawak mesti kekal dalam Challenge Cup. Antaranya adalah:
FAKTOR KOMPETITIF
Gagal layak ke Piala Malaysia bermakna Sarawak harus menunggu hampir 7 bulan sehingga musim 2019 membuka tirainya. Tanpa Challenge Cup, maka tiadalah perlawanan kompetitif yang boleh mendatangkan manfaat ke segenap aspek berkaitan pasukan dan persatuan (perlawanan persahabatan dan pra-musim tidak dikira sebagai perlawanan kompetitif).
Selain itu, langkah menarik diri bakal mengundang tindakan tatatertib dan denda daripada penganjur liga, Malaysian Football League (MFL).
FAKTOR KONTRAK
Tanpa saingan kompetitif selama 7 bulan, apa yang pemain-pemain lakukan? Takkan berlatih setiap hari tanpa hala tuju? Mereka diikat secara kontrak sehingga hujung tahun bersama pasukan.
Jadi, untuk menjustifikasikan kontrak dan gaji mereka, Challenge Cup ialah saingan kompetitif yang berbaloi untuk mereka beraksi. Tiadalah timbul isu pemain (terutamanya pemain import) makan gaji buta dan sebagainya.
FAKTOR PASUKAN
Challenge Cup juga ialah medan terbaik untuk Sarawak mengetengahkan pemain-pemain muda mereka. Ada antara mereka beraksi dengan baik semasa saingan Liga Premier.
Walau bagaimanapun, dengan minima 6 perlawanan dalam kejuaraan ini, Ian Gillan hendaklah bijak menyeimbangkan campuran pemain muda dan senior agar dapat mencatat keputusan memberangsangkan dan memanfaatkan sumber bakat sedia ada.
FAKTOR KOMERSIL
Jika Sarawak menarik diri, tiadalah tarikan komersil untuk pasukan dan juga industri yang berkaitan dengannya. Tanpa sebarang perlawanan kompetitif, tiada penonton datang ke stadium, mengakibatkan kutipan jualan tiket langsung tiada.
Jualan jersi pasukan oleh Lea Sports Centre (LSC) akan menjadi lebih perlahan kerana tiada sebab untuk memakainya (tetapi anda boleh mendapatkan jersi tribal SarawakCrocs seperti di atas yang awesome di sini). Lagi membimbangkan, nilai komersil Sarawak serta Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan menurun dengan lebih buruk.
FAKTOR PENAJAAN
Menarik diri daripada Challenge Cup akan merugikan pasukan, pengurusan dan juga penaja. Sudahlah nilai komersil semakin merudum, penaja pula mungkin menarik diri daripada menyalurkan tajaan. Harus diingat, penajalah yang banyak membantu Sarawak untuk kekal bersaing.
Jika Sarawak berjaya mendapatkan penaja jangka pendek sekurang-kurangnya sehingga tamat kejuaraan ini, mungkin mereka akan mempertimbangkan cadangan penajaan jangka panjang pada musim hadapan.
FAKTOR PENYOKONG
Ini antara komponen yang penting. Sanggupkah kita melihat penyokong Sarawak merana tatkala penyokong Johor DT, Kelantan dan sebagainya turun ke stadium bersorak meraikan pasukan mereka?
Walaupun sedikit, penyokonglah yang membangkitkan semangat kepada pemain dan penonton. Oleh itu, dengan adanya Sarawak dalam kejuaraan ini, marilah kita turun ke stadium dan gamatkan suasana.
Skuad Bujang Senang akan memulakan kempen menentang pasukan UKM di Stadium Selayang, 7 Ogos ini. – SARAWAKCROCS.COM/RSI