Pasukan Sarawak United A (SUA) gagal menyekat kemaraan pasukan Liga Super Melaka United di dalam perlawanan pra-musim pertama yang dianjurkan oleh SUA di Stadium Sarawak.

Pasukan yang dibimbing E Elaverasen itu tewas 4-1 kepada pasukan Melaka United.

Melaka United bermula garang apabila berjaya menjaringkan dua gol pada babak pertama perlawanan.

Gol pertama Melaka United terhasil pada minit ke-10 apabila pemain import Melaka United, Uche Agba yang tidak dikawal, mudah merembat cantik gol pertama perlawanan dari dalam kawasan penalti Sarawak United.

Melaka United terus menjarakkan diri di dalam perlawanan persahabatan ini apabila meledakkan gol kedua pada minit ke-24, juga menerusi pemain import mereka Uche Agba.

Kali ini, lorongan masuk ke kawasan gawang SUA gagal ditolak keluar oleh penjaga gol SUA, sekaligus menyaksikan Uche Agba sekali lagi mempunyai tugas mudah untuk menolak masuk bola ke gawang SUA untuk gol kedua pasukan tersebut.

SUA berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-45 apabila Patrick Ronaldinho menjaringkan gol hasil daripada perebutan di hadapan pintu gol Melaka United.

Pada babak kedua, Melaka United semakin garang dan berjaya merobek gawang SUA sekali lagi untuk gol ketiga.

Kali ini gol dijaringkan pada minit ke-64 melalui pemain import Sony Norde.

Tidak cukup dengan itu, Melaka United kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti pada babak-babak akhir perlawanan yang mudah disempurnakan oleh Razman Roslan untuk melengkapkan kemenangan bergaya Melaka United.

Kekalahan SUA itu bermakna pasukan yang sebelum ini dikenali sebagai Selangor United FC, belum lagi memenangi sebarang perlawanan pra-musim mereka sehingga kini.