Masalah lampu limpah Stadium Negeri, masalah siapa?

Pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah mengeluarkan kenyataan bahawa masalah lampu limpah di Stadium Negeri menjadi punca utama mengapa Sarawak FA akan terpaksa bermain pada sebelah petang pada musim ini.

Mengibaratkan masalah itu sebagai ‘langkah sementara’, Setiausaha Agung FAS, Razali Dolhan telah dipetik oleh akhbar Utusan Sarawak sebagai berkata masalah itu akan diselesaikan apabila pihak Perbadanan Stadium Negeri Sarawak (PSNS) mengambil langkah memperbaiki lampu limpah yang rosak.

Sungguhpun demikian, kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenaan isu masalah lampu limpah di Stadium Selayang yang dihadapi pasukan Selangor pada hari ini menarik minat kami.

Ini adalah kerana menurut baginda, “Adalah menjadi tanggungjawab pasukan Selangor untuk menaik taraf lampu limpah tersebut bagi mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh FMLLP agar boleh beraksi di waktu malam.”

Kenyataan baginda memberi indikasi bahawa pasukan bertanding di dalam Liga Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menaik taraf kemudahan agar mengikut spesifikasi yang ditetapkan, dan bukannya pihak yang memiliki stadium tersebut, yakni dalam kes Selangor, Majlis Perbandaran Selayang.

Situasi Selangor FA dan Stadium Selayang mempunyai persamaan dengan pasukan Sarawak FA dan Stadium Negeri, dimana kedua-dua pasukan tidak memiliki stadium yang mereka hendak gunakan untuk Liga Malaysia, dimana stadium tersebut diuruskan oleb pihak ketiga.

Oleh itu, jika kenyataan Tunku Ismail digunapakai keatas situasi pasukan Sarawak FA, maka ianya secara tidak langsung meletakkan pihak FAS sebagai persatuan yang perlu memperbaiki pencahayaan di Stadium Negeri kerana pasukan bolasepak di bawah naungannya yang perlu mematuhi peraturan Liga Malaysia yang ditetapkan oleh pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Sungguhpun demikian, dengan pihak FAS memberi kenyataan bahawa mereka menunggu pihak PSNS memperbaiki pencahayaan, adalah menjadi tanda tanya siapakah yang kini harus memikul tanggungjawab memperbaiki kemudahan di gelanggang perlawanan milik Sarawak FA, khususnya dengan FAS kini sudah ‘lebih kurang’ beribu pejabat di Stadium Negeri.

//Sokonglah usaha kami membawakan berita berkenaan bolasepak Sarawak dengan membeli jersi Tribal kami.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top