Sikap bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain harus dijadikan sebagai salah satu elemen penting buat semua pasukan Liga Malaysia ketika ini bagi menghadapi saat sukar selepas saingan Liga Malaysia masih ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Itulah respons pantas legenda bolasepak negara, Datuk Hassan Sani ketika ditanya berkenaan saingan liga yang perlu ditangguhkan lagi apabila tempoh peraturan kawalan pergerakan dilanjutkan lebih lama sehingga 14 April depan.

Sebagai bekas pemain, Hassan memahami keadaan sukar yang pasti dialami oleh semua pasukan dan pemain apabila terpaksa menanti lebih lama untuk kembali beraksi dan sudah tiba masanya untuk mereka sama-sama berbincang seadilnya bagi memikirkan jalan penyelesaian terbaik menghadapi situasi ini.

Sudah pasti, aspek kewangan paling menjadi kerisauan di mana bekas penyerang kebangsaan itu berpendapat baik pemain, pegawai dan pihak tertinggi persatuan perlu ada sikap bertimbang rasa antara satu sama lain untuk sama-sama bersabar memandangkan isu yang berlaku adalah di luar kawalan membabitkan keselamatan semua pihak.

“Saya harap semua pihak dapat bersabar kerana benda yang berlaku bukan kita yang minta dan ia melibatkan keselamatan semua orang.

“Apabila berlaku perkara seperti ini, semua pihak perlu duduk semeja dan berbincang terutamanya mengenai gaji dan kebajikan pemain agar mereka dapat lebih memahami antara satu sama lain kerana apa yang berlaku bukan melibatkan saingan di Malaysia sahaja tetapi liga antarabangsa di seluruh dunia juga, malah ada antara mereka di luar negara yang sedia dipotong gaji.

“Tetapi kalau untuk kita di Malaysia, terpulanglah kepada hasil perbincangan antara pemain dan pasukan masing-masing adakah mereka sanggup berkorban dalam tempoh singkat ini dahulu atau apa cara sekalipun untuk bertahan”, katanya.

Dalam masa yang sama, dua lagi legenda bolasepak negara, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun turut senada untuk setiap persatuan selepas ini bergerak lebih proaktif mencari jalan keluar kepada setiap masalah lebih-lebih lagi dalam tempoh sukar ini.

Pada waktu getir ini, bukan masanya untuk menunding jari atau menyalahkan sesiapa kerana apa yang berlaku merupakan masalah global yang melibatkan kesihatan semua pihak dan paling penting adalah bagaimana pasukan dan pemain bersama-sama tabah menghadapi keadaan ini.

“Kita tidak boleh salahkan sesiapa dalam hal ini dan kita juga fahamlah apa yang akan dihadapi oleh pemain-pemain kerana tidak tahu perlu tunggu berapa lama untuk kembali beraksi.

“Baik pasukan dan pegawai juga kena faham kerana dalam waktu sukar ini, mereka semualah yang kena kekal kuat dan teruskan berhubung antara satu sama lain untuk cari jalan penyelesaian bagi harungi situasi ini”, jelas Santokh.

“Bagi saya, apa yang paling penting adalah kita kena tunggu agar isu virus ini pulih terlebih dahulu kerana selagi tidak selesai, selagi itu saingan tidak akan kembali bersambung.

“Saya faham, ada sesetengah pasukan yang mampu dan tidak akan berdepan masalah kewangan pun, tetapi ada pasukan dan kelab sedang bergelut serta risau memikirkan perkara ini.

“Jadi, jangan buang masa lagi dan berbincanglah sebaik-baiknya, terpulang bagaimana mereka nak buat keputusan, sekurang-kurangnya apa jua yang diputuskan adalah untuk sementara waktu ini sahaja”, demikian pendapat Chin Aun.

Terbaharu, pihak Kerajaan Malaysia telah melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April depan menandakan saingan Liga Malaysia juga terpaksa ditangguh lebih lama.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) akan terus memantau keadaan COVID-19 ini seiring arahan oleh Kerajaan Malaysia sebelum mengeluarkan jadual baharu Liga Malaysia 2020.