Persediaan Kuching City FC untuk musim baharu semakin rancak apabila ketua jurulatih baharunya, Irfan Bakti memberitahu akhbar Borneo Post bahawa beliau merancang untuk membawa masuk satu pemain import dan beberapa pemain tempatan dari Semenanjung Malaysia.

Ketua jurulatih dengan 24-tahun pengalaman sebagai jurulatih itu memberitahu akhbar terebut bahara pemain import yang beliau mahu bawa masuk akan memperkuatkan barisan pertahanan Kuching, manakala pemain tempatan dari Semenanjung Malaysia cuma dalam jumlah dua hingga tiga orang sahaja.

Kenyataan tersebut sedikit mengelirukan kerana Pengerusi Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman telahpun menyatakan bahawa semua pemain import Kuching City, telah dikekalkan untuk musim hadapan.

Ini termasuklah kemasukan semula Leonardo Passos Alves yang digugurkan pada awal musim lalu ekoran kecederaan.

Menariknya, situasi pemain import Kuching kini dilihat berat ke bahagian serangan, dengan Irfan dikhabarkan mahukan pemain import memperkuatkan bahagian pertahanan.

Dalam perkembangan sama, Malaysia Football League (MFL) sebelum ini menetapkan bahawa satu – satu pasukan Liga Premier hanya boleh memiliki empat pemain import sahaja.

Peraturan pengambilan pemain import Liga Malaysia.

Dengan Kuching City kini telah mengumumkan empat slot pemain importnya telah terisi, persoalan berkenaan masa depan keempat – empat pemain tersebut kini menjadi tanda tanya.

Irfan dalam pada itu juga dilaporkan menyatakan hasrat inginkan pemain Kuching City memberi kerjasama dengan beliau bagi memastikan sasaran pasukan tercapai.

Beliau dilaporkan Borneo Post sebagai berkata kejayaan pasukan bukan bergantung kepada nama – nama besar, tetapi keupayaan pemain bermain dengan semangat yang tinggi.

Kuching akan meneruskan musim kedua sebagai pasukan Liga Premier musim hadapan selepas berjaya mengakhiri musim sulungnya di kedudukan ke-4 musim ini.