Pasukan Sarawak boleh bernafas sedikit lega selepas semua perlawanan Liga Super berakhir malam tadi kerana mereka berjaya naik ke kedudukan ke-sembilan Liga Super hasil keputusan seri dengan Selangor malam tadi.
Ini berikutan keputusan di Stadium Perak yang memihak kepada pasukan tuan rumah, sekaligus menyaksikan pasukan Pulau Pinang jatuh ke kedudukan ke-10 Liga Super, menggantikan tempat Sarawak yang kini memiliki kelebihan satu mata.
Sungguhpun demikian, pasukan bimbingan David Usop tidak dapat mengambil mudah dua perlawanan akan datang kerana mereka boleh dipintas oleh Pulau Pinang dan Terengganu sekiranya Sarawak kalah kedua-dua perlawanan tersebut, dan kedua-dua Pulau Pinang dan Terengganu berjaya mengutip mata penuh di dalam baki dua perlawanan terakhir mereka.
Di atas kertas, nasib Terengganu dilihat paling perit di antara empat pasukan yang berisiko tersingkir dari Liga Super musim hadapan kerana pasukan pantai timur itu akan terpaksa berdepan dua pasukan yang sedang di pencapaian kemuncak, yakni JDT dan Kedah.
Secara matematiknya, pasukan tangga terbawah, Pahang, juga dilihat masih boleh mengelakkan diri dari tersingkir ke Liga Premier, walaupun peluang mereka akan tertutup terus sekiranya tewas kepada Pulau Pinang pada perlawanan akan datang.
Turut berisiko tersingkir ke Liga Premier musim hadapan adalah pasukan PDRM, namun nasib mereka dijangka akan ditentukan di dalam perlawanan akan datang apabila PDRM bertandang ke Pulau Pinang untuk perlawanan kedua akhir liga.