Kuching FA berjaya mendapatkan satu mata berharga bagi perjuangan mereka di Liga FAM malam tadi selepas berjaya mengikat pasukan dari Melaka, SAMB FC.
Perlawanan yang dimainkan di Stadium Hang Tuah menyaksikan Kuching banyak menyerang pada awal perlawanan, dan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-31 apabila penyerang sensasinya, Zulmizan Bujang menanduk masuk gol pertama perlawanan.
Keputusan 1-0 memihak Kuching FA kekal sehingga tamatnya babak pertama perlawanan.
Apabila perlawanan bersambung, SAMB mula mengasak mencari gol penyamaan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol tersebut pada minit ke 76 melalui Shakir Samad.
Kuching FA cuba untuk mencari gol kemenangan selepas itu namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.