Pasukan Kuching FA memulakan kempen Piala FAM dengan langkah kanan apabila membenam pasukan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBMS) tadi di Stadium Negeri.
Skuad kendalian ketua jurulatih Ideris bin Untong kelihatan tajam di bahagian serangan apabila berjaya menjaringkan dua gol di separuh masa pertama perlawanan.
Pasukan Kuching mendahului di depan apabila berjaya menjaringkan gol awal melalui penyerang Sufizal Ismail pada minit ke 32.
Pasukan Kuching sekali lagi menghukum kelemahan barisan pertahanan PBMS apabila berjaya menjaringkan satu lagi gol oleh Sufizal Ismail pada minit ke 40.
Di babak kedua perlawanan, pasukan PBMS cuba bangkit dengan menjaringkan gol pada minit ke 76 oleh Yuzaini Hafiz. Namun, pertahanan pasukan Kuching kelihatan ampuh dan berjaya menyekat barisan penyerang PBMS hingga ke wisel penamat.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan tuan rumah. Ini merupakan penampilan sulung Kuching FA di kejohanan Liga FAM setelah menjuarai saingan Liga Bolasepak Rakyat edisi pertama tahun lalu.